
ACURA TLX TYPE S PMC EDITION – INI SUPER DUPER WOW!
Model Acura TLX Type S secara asasnya adalah sebuah model sedan mewah yang dibina khusus untuk pasaran di Amerika Syarikat. Dan sudah tentu model yang satu keluarga dengan Honda tidak boleh memakai lencana Honda untuk bersaing dengan jenama mewah yang lain. Maka, terlahirlah Acura di sana.
Acura sebelum ini pernah memperkenalkan model TLX Type S, sebuah model berprestasi tinggi ke pasaran. Namun kini Acura memperkenalkan versi yang lebih handal, TLX Type S PMC Edition. Apa bendakah PMC Edition ini? Ianya adalah Performance Manufacturing Center, sebuah pusat kejuruteraan kelajuan terletak di Ohio yang dimiliki Acura untuk membina model handalan seperti Acura NSX.

Dalam erti kata lain, Acura TLX Type S PMC Edition hanya dibina menggunakan teknologi tangan manusia dan juga sebungkus air sirap mungkin oleh NSX Master Technician sendiri.
Dan model ini hanya didatangkan dengan 50 unit sahaja dengan warna matte Gotham Gray. Super duper terhad. Warna matte Gotham Gray ini sebenarnya cukup sinonim dengan warna model Acura NSX mereka yang cukup terkenal itu. Warna ini bukan sekadar matte biasa, tapi sebenarnya adalah jenis metalik yang mampu menjelmakan imej Acura Type S yang bukan biasa – biasa.

Bahagian luaran Acura TLX Type S PMC Edition ini turut menggunakan rim bercorak Y, sama seperti yang digunakan pada model NSX bersaiz 20 inci serta dilayangkan dengan warna Berlina Black. Rim tersebut dipadankan dengan tayar Pirelli P Zero Summer saiz 255/35 R20 97Y.
Berbanding model TLX standard yang menggunakan enjin 2.0 liter turbo, model PMC Edition menggunapakai enjin 3.0 liter V6 turbo enam silinder yang mampu menghasilkan 355 HP dan tork 480 Nm. Cukup berkuasa untuk sebuah model sedan yang pastinya akan dipandu oleh Papa Papa yang jiwanya kelajuan. Selain daripada itu, ianya turut menggunakan SH-AWD® (Super Handling All-Wheel Drive).

Oh ya, selain daripada warna khas Gotham Gray, Acura Type S PMC Edition ini turut didatangkan warna Curva Red, 130R White, dan juga Long Beach Blue Pearl. Harga yang ditawarkan adalah $65,000 (RM286812).



