HELMET SGV CHAMPION GOLD 2016 TERJUAL DENGAN HARGA RM3,000
Kebelakangan ini, helmet jenama SGV kembali mencuri tumpuan peminat motosikal tempatan ekoran harga helmet tersebut yang sebelum ini dijual pada harga sekitar RM80 kini mencecah ribuan ringgit.
Minggu lalu, sebuah helmet SGV dengan warna ‘fluorosecent yellow’ yang diinspirasikan dari warna Valentino Rossi mencecah harga jualan sekitar RM800.

Terbaru, Kedai Penjual Helmet menerusi perkongsian di TikTok mendedahkan sebuah helmet SGV keluaran 2016 dengan warna Champion Gold berjaya terjual dengan harga RM3,000.
Helmet yang terhad kepada 500 unit yang dihasilkan pada tahun 2016 itu berjaya dijual kepada pelanggan dari Johor Bahru. Untuk rekod, setiap helmet SGV Champion Gold Limited Edition ini didatangkan dengan sijil khas yang mengesahkan nombor unit bagi setiap model.

Selain hadir dengan warna keemasan, ciri lain yang unik pada helmet ini adalah pelekat SGV berwarna biru yang memantulkan cahaya.
Siapa sangka, helmet tempatan yang hanya dijual di Malaysia mampu mencecah harga ribuan ringgit seangkatan jenama Arai dan Shoei.


