Motosikal

PANCING JURUTERA DUCATI, CFMOTO BAKAL SERTAI WORLSBK DENGAN V4 SR-RR

CFMOTO merupakan antara jenama yang mencuri tumpuan di EICMA ekoran mempamerkan jentera prototaip  CFMoto V4 SR-RR buat julung kalinya. 

Kehadiran prototaip tersebut di Milan turut menarik perhatian CEO Ducati, Claudio Domenicali.

Berdasarkan perkembangan terbaru, CFMOTO dikhabarkan akan menyertai Kejuaraan Dunia Superbike (WorldSBK) sebaik V4 SR-RR berkenaan siap sepenuhnya. 

Berdasarkan laporan antarabangsa, dakwaan itu diperkuat setelah CFMOTO berjaya mendapatkan khidmat ketua pereka casis dari Ducati dan pelumba uji, Matteo Ferrari yang pernah beraksi di Moto3,MotoE dan WorldSBK. Menariknya, Ferrari akan turut beraksi di WorldSSP bersama pasukan WRP Ducati pada musim 2026. 

Untuk rekod, Ferrari juga beberapa kali telah pun menguji V4 SR-RR dan media antarabangsa yakin CFMOTO sedang mensasarkan WorldSBK apatah lagi berjaya mendapatkan khidmat individu penting di Ducati. 

Memandangkan CFMOTO bakal melancarkan V4 SR-RR versi produksi jangkaan tahun 2026, bermakna terdapat kemungkinan jenama motosikal dari China itu akan sertai grid WorldSBK pada musim 2027. 

Lebih menarik, memandangkan V4 SR-RR turut dilengkapi dengan sistem aero aktif pada model produksi, ini bermakna CFMOTO dibenarkan mengguna pakai sistem tersebut pada jentera lumba nanti. Setakat ini, belum ada jentera lain yang menawarkan ciri tersebut di grid. 

Atas kertas, V4 SR-RR ini dikuasakan enjin V4 1000cc yang berupaya menjana 210hp dan mampu mencapai kelajuan maksima lebih 300km/j.

Google ads
Back to top button