HONDA AMAZE DILANCARKAN DI INDIA – JANA 89HP, HARGA BERMULA RM9.4K
Honda melancarkan sedan kompak generasi baharu, Honda Amaze, dengan harga bermula serendah ₹780,000 (RM9,440).
Model ini menawarkan ciri moden dan teknologi keselamatan terkini yang jarang dilihat dalam kategori kenderaan pada julat harga ini.
Gaya Ringkas, Ciri Luar Biasa
Walaupun direka dengan gaya yang sederhana, Honda Amaze tampil dengan elemen reka bentuk moden seperti lampu LED depan dan belakang, rim aloi 15-inci untuk varian tertinggi, serta pilihan warna badan yang elegan.
Dengan panjang hanya 3,995mm, Amaze mengekalkan saiz kompak yang sesuai untuk pemanduan di kawasan bandar.
Sedan ini turut menampilkan ruang dalaman praktikal dengan skrin sentuh lapan inci, kluster instrumen digital tujuh inci, penghawa dingin automatik, serta ciri seperti pengecas tanpa wayar dan penapis udara PM 2.5.
Ciri Keselamatan Lengkap
Honda memberi tumpuan serius terhadap keselamatan, melengkapkan Amaze dengan lebih 28 ciri keselamatan aktif dan pasif.
Antara yang paling menonjol termasuk kawalan pelayaran adaptif, bantuan kekal lorong, kamera sisi, serta enam beg udara sebagai standard.
Model ini juga dilengkapi dengan ciri kemudahan seperti cermin sisi lipat automatik, penghidup enjin kawalan jauh, dan corong penghawa dingin belakang untuk keselesaan penumpang.
Prestasi Praktikal dan Ekonomi
Honda Amaze dikuasakan oleh enjin 1.2 liter aspirasi semula jadi yang menghasilkan 89hp dan 110Nm tork.
Ia tersedia dengan transmisi manual 5-kelajuan atau CVT, yang turut menawarkan pedal penukar gear.
Dengan berat maksimum hanya 986kg, model ini mampu memberikan prestasi lincah sambil mengekalkan ruang but besar berkapasiti 416 liter.
Dengan harga permulaan sekitar RM9,440, Honda Amaze menawarkan nilai luar biasa kepada pembeli di India, di mana permintaan untuk kenderaan mampu milik masih tinggi.
GALERI:
- BACA: MITSUBISHI MOTORS SEDIA TAWARAN EKSKLUSIF DI KLIMS 2024, LANCAR MAX LEASING
- BACA: VOLVO XC40 B5 PLUS KINI DIBUKA UNTUK TEMPAHAN, HARGA BERMULA RM278K
- BACA: TERKINI: ROYAL ENFIELD BEAR 650 MASUK MALAYSIA MEI 2025 – 47HP, 57NM
- BACA: KLIMS 2024: PROTON PAMER PROTON X50 SE, PROTON S70 R3 DAN e.MAS 7