Buletin

HONDA CITY FACELIFT 2026 DILANCARKAN DI INDIA – HARGA MULA RM50K

Honda Cars India memperkenalkan versi facelift bagi sedan popularnya, Honda City, dengan penampilan lebih segar, penambahan teknologi baharu serta kemas kini ciri premium bagi pasaran India.

Honda menyatakan fokus utama facelift kali ini adalah untuk meningkatkan karakter sporty dan imej premium sedan tersebut tanpa menjejaskan pengalaman pemanduan yang menjadi identiti model itu.

Dari segi dimensi, Honda City kini mempunyai panjang keseluruhan 4,594mm, bertambah 11mm berbanding model sebelumnya.

Bahagian hadapan menerima rekaan lebih agresif menerusi lampu utama Bi-LED projektor baharu, jalur lampu LED melintang yang diintegrasikan pada gril, lampu nyalaan siang (DRL) jenis split serta gril matrix-mesh yang tampil lebih moden. Bampar hadapan turut direka semula dengan liang udara lebih besar serta elemen aerodinamik tambahan.

Di bahagian sisi, sedan ini dipadankan dengan rim aloi aero blade dwi-tona bersaiz 16-inci rekaan baharu.

Bahagian belakang pula menerima lampu LED Z-edge baharu dan kemasan bampar lebih sporty.  Selain itu, Honda turut memperkenalkan warna luaran Crystal Black Pearl sebagai pilihan tambahan.

Ruang kabin masih mengekalkan tema dua tona hitam dan ivory, namun dipertingkat dengan beberapa elemen moden. Antara pembaharuan utama ialah sistem infotainmen terapung bersaiz 10.1-inci yang menyokong sambungan telefon pintar tanpa wayar. Kemasan papan pemuka dengan corak 3D dark iron bersama pencahayaan ambien turut memberikan suasana lebih premium.

Antara ciri baharu yang ditawarkan termasuk kamera 360 darjah, tempat duduk hadapan dengan fungsi ventilasi, port pengecas USB Type-C untuk penumpang depan dan belakang, Apple CarPlay serta Android Auto tanpa wayar, pengecas telefon tanpa wayar, sistem audio lapan pembesar suara, bumbung suria elektrik dan tirai suria belakang.

Aspek keselamatan terus diperkukuh dengan sistem bantuan pemandu Honda Sensing ADAS yang merangkumi Collision Mitigation Braking System (CMBS), Lane Keep Assist System, Adaptive Cruise Control dengan Low Speed Follow bagi varian e:HEV, Road Departure Mitigation, Auto High Beam serta Lead Car Departure Notification.

Dari sudut mekanikal, Honda City facelift masih mengekalkan pilihan enjin petrol dan sistem strong hybrid. Enjin 1.5 liter i-VTEC aspirasi semula jadi menghasilkan 121hp dan 145Nm tork, dipadankan sama ada transmisi manual enam kelajuan atau CVT tujuh langkah.

Honda mendakwa penggunaan bahan api masing-masing ialah 17.77km/l untuk manual dan 17.97km/l bagi CVT.

Varian Honda City e pula menggunakan sistem hibrid dua motor self-charging bersama transmisi e-CVT.

Gabungan itu menghasilkan 126hp dan 253Nm tork dengan kecekapan bahan api didakwa mencecah 27.26km/l. Sistem tersebut mampu bertukar secara automatik antara mod EV, hibrid dan enjin mengikut keadaan pemanduan.

Untuk pasaran India, varian SV hanya ditawarkan bersama enjin 1.5 liter NA dan transmisi manual enam kelajuan pada harga 1,199,900 rupee (sekitar RM50,000).

Varian V pula hadir dengan pilihan transmisi manual enam kelajuan atau CVT, dengan harga antara 1,329,900 hingga 1,429,900 rupee (sekitar RM55,000 hingga RM59,000).

Model City petrol turut tersedia dalam pilihan ZX dan ZX+, manakala varian e:HEV kekal eksklusif dalam spesifikasi ZX+.

Honda juga menawarkan jaminan lapan tahun atau 160,000km untuk pek bateri lithium-ion, selain jaminan lima tahun atau 100,000km bagi komponen sistem hibrid.

Google ads
Back to top button