Buletin

1,008 ENJIN HILANG: KIA INDIA DEDAH KOMPLOT ANTARA BEKAS PEKERJA DAN PENIAGA BESI BURUK

Pihak berkuasa di India sedang menyiasat dua bekas kakitangan Kia India yang disyaki berkomplot bersama peniaga besi buruk dalam kes kecurian sebanyak 1,008 unit enjin dari kilang syarikat itu di Andhra Pradesh.

Insiden ini dilaporkan berlaku secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun, menurut dokumen siasatan polis.

Walaupun nilai keseluruhan enjin yang hilang dianggarkan sekitar AS$2.3 juta (kira-kira RM10.8 juta), siasatan polis menyatakan kes ini memberi kesan meluas kepada operasi industri, kepercayaan pemegang taruh dan keselamatan pekerjaan.

Kecurigaan timbul selepas audit dalaman Kia mendapati enjin yang diperoleh daripada syarikat saudara, Hyundai, didapati hilang, sekali gus mencetuskan laporan polis oleh pihak pengurusan Kia pada bulan Mac.

Siasatan awal mendedahkan dua bekas pekerja, seorang ketua pasukan dan seorang ketua seksyen penghantaran enjin, dipercayai menggunakan invois palsu dan pas keluar yang diubah suai bagi membawa keluar enjin dari premis kilang.

Mereka dipercayai mendapat bantuan sekurang-kurangnya empat individu lain, termasuk dua pengangkut dan dua peniaga besi buruk yang berperanan menjual enjin-enjin tersebut ke beberapa negeri termasuk sehingga ke ibu negara, New Delhi.

“Operasi ini melibatkan urus niaga haram yang berulang, penggunaan lori dengan nombor pendaftaran palsu serta pemalsuan dokumen logistik,” kata Inspektor K Raghavan dalam dokumen siasatannya bertarikh 16 April.

Raghavan enggan memberikan sebarang komen lanjut kepada media dengan alasan kerahsiaan siasatan.

Dalam kenyataan kepada Reuters, Kia India menyatakan mereka mengesan ketidaksesuaian inventori selepas menambah baik sistem pengurusan stok syarikat pada tahun lalu. Satu siasatan dalaman telah dijalankan sebelum laporan polis dibuat.

Kia turut menegaskan bahawa mereka kini memperkukuhkan tatakelola dalaman dan sistem pemantauan inventori dengan lebih ketat.

Salah seorang suspek utama, Vinayagamoorthy Veluchamy, 37, yang merupakan bekas ketua seksyen penghantaran enjin kini ditahan reman dan telah memfailkan permohonan jaminan di Mahkamah Tinggi negeri.

Beliau menafikan sebarang pembabitan dalam kegiatan itu dan telah meninggalkan syarikat pada tahun 2023. Seorang lagi individu yang dinamakan dalam siasatan ialah Patan Saleem, 33, bekas ketua pasukan, bekerja dari 2020 hingga 2025.

Ketika ini, lokasi Saleem tidak diketahui dan nombor telefon yang dikaitkan dengannya tidak lagi aktif.

Setakat ini, kedua-dua mereka belum didakwa secara rasmi, namun telah dinamakan sebagai suspek dalam penyiasatan yang masih di peringkat awal.

Polis menyatakan terdapat unsur perancangan rapi dan manipulasi dalaman dalam operasi ini. Jika didapati bersalah, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau lebih, mengikut undang-undang jenayah India.

Kes kehilangan secara sistematik seperti ini adalah luar biasa di peringkat korporat, walaupun kecurian kecil merupakan perkara biasa di India.

Kia dilaporkan mula menyedari kehilangan enjin itu selepas semakan stok pada Januari 2025, sebulan selepas rakaman CCTV kilang menunjukkan pergerakan kenderaan yang tidak sah.

Polis turut merampas sembilan telefon bimbit yang mengandungi tangkap layar perbualan WhatsApp, invois penghantaran dan gambar lori yang digunakan dalam operasi penyeludupan enjin.

Menurut siasatan, hasil jualan enjin tersebut digunakan untuk tujuan peribadi seperti membayar hutang, membeli harta dan melabur dalam perniagaan lain.

Google ads
Back to top button