Buletin

SUZUKI BREZZA FACELIFT DILANCARKAN DI INDIA – ENJIN TURBO BAHARU, JANA 109HP, HARGA MULA RM31K

Suzuki memperkenalkan versi terkini Brezza di India dengan beberapa penambahbaikan membabitkan reka bentuk, ciri keselamatan serta pilihan enjin baharu yang menjadikannya lebih menarik dalam segmen SUV kompak.

Kemas kini terbesar ialah pengenalan enjin 1.0 liter Boosterjet turbo dengan sistem mild-hybrid. Enjin itu menghasilkan kuasa 109hp dan tork 170Nm, sekali gus menjadikannya varian Brezza paling berkuasa setakat ini. Kuasa disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi manual enam kelajuan yang turut diperkenalkan buat kali pertama.

Selain enjin turbo, Suzuki masih menawarkan enjin 1.5 liter Dual Jet mild-hybrid yang menghasilkan 102hp dan tork 137Nm. Varian ini boleh dipadankan dengan transmisi manual enam kelajuan atau automatik enam kelajuan.

Bagi pelanggan yang mahukan penjimatan bahan api lebih baik, Brezza turut ditawarkan dalam versi dwi-bahan api S-CNG. Model ini menerima tangki gas asli termampat (CNG) baharu berkapasiti 55 liter bersama transmisi manual enam kelajuan, menggantikan kotak gear lima kelajuan sebelum ini.

Dari segi penampilan, Brezza masih mengekalkan identiti asal, namun menerima bampar hadapan baharu dengan rekaan saluran udara yang lebih agresif, gril dikemas kini serta kemasan berwarna aluminium pada beberapa bahagian badan.

SUV sepanjang 3,995mm itu turut hadir dengan dua pilihan warna baharu iaitu Vivacious Orange dan Lustrous Beige.

Suzuki juga menawarkan tiga pakej aksesori bagi memberi lebih pilihan kepada pelanggan. Pakej Turbo menampilkan kemasan merah pada bahagian luaran dan lencana khas di tiang C, Terrascape menambah pelindung badan berwarna perang dan perak, manakala Metroscape pula memberikan sentuhan kemasan eksklusif pada bampar.

Di ruang kabin, Brezza menerima gabungan warna Dark Brown dan Black bersama kemasan ala logam, trim hitam berkilat serta balutan tempat duduk kulit sintetik.

Sistem infotainmen kini menggunakan skrin sentuh 10.1-inci, lebih besar berbanding unit 9-inci sebelum ini. Varian lebih tinggi turut dilengkapi sistem audio Arkamys, tempat duduk hadapan dengan fungsi pengudaraan, lampu ambien 64 warna, bumbung suria elektrik, penapis udara serta pengecas telefon tanpa wayar yang mempunyai fungsi penyejukan.

Aspek keselamatan juga dipertingkat menerusi sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) yang kini merangkumi Amaran Titik Buta, Amaran Pertukaran Lorong, Amaran Trafik Melintas Belakang, Amaran Ketika Membuka Pintu dan kamera 360 darjah yang dipertingkatkan.

Buat masa ini, Suzuki Brezza baharu hanya ditawarkan untuk pasaran India.

Varian turbo manual dijual pada harga pengenalan ₹739,900, bersamaan AS$7,700 (RM31,493), sekali gus menjadi model paling mampu milik dalam barisan Brezza.

Sementara itu, varian paling lengkap dengan enjin 1.5 liter aspirasi semula jadi dan transmisi automatik ditawarkan pada harga ₹1,370,000, bersamaan AS$14,200 (RM58,078).

Google ads
Back to top button