
VOLKSWAGEN DAKWA TUNTUTAN CUKAI INDIA TIDAK ADIL, BERISIKO BAYAR RM12.49 BILION
Volkswagen telah memfailkan saman terhadap pihak berkuasa India bagi membatalkan tuntutan cukai berjumlah RM6.25 bilion, yang disifatkan sebagai tidak adil dan bercanggah dengan peraturan import negara itu.
Syarikat itu mendakwa cukai tersebut boleh menjejaskan pelaburan mereka di India, yang bernilai sekitar RM6.69 bilion, serta merosakkan keyakinan pelabur asing terhadap pasaran automotif negara tersebut.
Pada September lalu, India mengeluarkan notis cukai terbesar dalam sejarah industri automotifnya kepada Volkswagen.

Pihak berkuasa mendakwa syarikat itu mengimport hampir keseluruhan kereta dalam keadaan terlerai dan sepatutnya dikenakan cukai 30-35 peratus untuk unit CKD.
Namun, Volkswagen mengklasifikasikan penghantaran sebagai “bahagian individu,” membolehkan mereka membayar levi lebih rendah sekitar 5-15 peratus.
Volkswagen menegaskan bahawa mereka mematuhi peraturan yang ditetapkan dan telah mendapatkan penjelasan daripada kerajaan India sejak 2011 mengenai strategi import mereka.
Syarikat itu juga sedang berdepan tekanan kewangan, dengan pelan pengurangan 35,000 pekerjaan di Jerman dan penjualan sebahagian perniagaannya di China.
Sekiranya Volkswagen kalah dalam kes ini, mereka mungkin perlu membayar penalti hampir RM12.49 bilion.
Mahkamah Tinggi Mumbai dijadualkan mendengar kes ini pada 5 Februari. Keputusan kes ini boleh memberi kesan besar terhadap operasi Volkswagen di India dan masa depan pelaburan syarikat global di negara tersebut.