
TOYOTA BAKAL HASILKAN SUV ELEKTRIK DENGAN KERJASAMA SUZUKI
Maruti Suzuki India Limited (MSIL) kini semakin hampir melancarkan SUV elektrik pertama mereka, dikenali sebagai eVX, untuk pasaran India.
SUV ini yang dilihat dalam beberapa gambar intipan di media sosial, telah menarik perhatian ramai dengan reka bentuk yang serba baru dan inovatif.
Toyota turut bekerjasama dengan Suzuki untuk menghasilkan SUV elektrik yang berasaskan platform eVX dan dijangka dilancarkan di pelbagai pasaran global di bawah jenama Toyota.
Selepas bekerjasama dalam pembangunan model enjin pembakaran dalam (ICE) dan hibrid, kedua-dua jenama kini beralih ke segmen kenderaan elektrik (EV).

Ini bakal menjadi langkah permulaan yang strategik bagi kedua-dua syarikat dalam memperkenalkan EV di India, di mana Maruti eVX dan rakan sejawatnya dari Toyota bakal menjadi model terawal dilancarkan.
SUV elektrik Toyota ini dihasilkan di kilang Suzuki Motor Group (SMG) di Hansalpur, Gujarat, dan pengeluaran dijangka bermula pada suku pertama tahun 2025.
Penggunaan platform dan rangkaian kuasa eVX ini merupakan hasil usaha bersama Suzuki Motor Corporation (SMC), Toyota Motor Corporation (TMC), serta Daihatsu Motor Corporation.
Platform yang digunakan ialah 27PL skateboard electric architecture – direka khusus untuk kenderaan elektrik sepenuhnya.
Pada tahun lalu, Toyota turut mempratonton model konsep SUV Elektrik Urban yang akan dilengkapi pacuan roda hadapan (FWD) sebagai standard, manakala versi pacuan semua roda (AWD) dengan dua motor ditawarkan di beberapa pasaran tertentu.
SUV elektrik ini bakal hadir dengan dua pilihan bateri: unit 48kWh yang menawarkan jarak gerak sekitar 400 kilometer, dan unit lebih besar iaitu 60kWh dengan jarak sekitar 550 kilometer untuk sekali cas penuh.
Maruti Suzuki eVX akan membuat debut global pada bulan ini dan dijadualkan untuk dilancarkan di India pada awal tahun 2025.
SUV elektrik saiz pertengahan Toyota pula dijangka akan diperkenalkan pada separuh kedua tahun 2025, kira-kira enam bulan selepas debut eVX.