
JURUTERA REKA JAMBATAN SELEKOH 90° DI INDIA: MENTERI MENGAMUK, RAKYAT GELENG KEPALA
Kerajaan negeri Madhya Pradesh telah mengenakan tindakan tegas terhadap lapan jurutera yang terlibat dalam pembinaan sebuah jambatan jalan raya melintasi landasan kereta api dengan selekoh hampir 90 darjah.
Reka bentuk jambatan berkenaan nyata mencetuskan perdebatan hangat mengenai keselamatan struktur.
Tujuh daripada jurutera terbabit, termasuk dua jurutera kanan daripada Jabatan Kerja Raya (PWD), digantung tugas serta-merta.
Seorang lagi jurutera kanan yang telah bersara akan berdepan siasatan dalaman. Jambatan bernilai £1.5 juta (kira-kira RM9 juta) itu menjadi perhatian selepas tular di media sosial disebabkan sudut selekoh ekstremnya yang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pakar kejuruteraan.

Jambatan sepanjang 648 meter yang terletak di Bhopal itu sepatutnya menghubungkan kawasan Mahamai Ka Bagh, Pushpa Nagar dan stesen baharu Bhopal. Namun, reka bentuknya menimbulkan tanda tanya apabila pengguna jalan raya berdepan risiko akibat selekoh yang luar biasa tajam.
Menurut laporan media tempatan, reka bentuk asal jambatan tersebut telah beberapa kali diubah, dengan pelan pertama pada 2018 menunjukkan selekoh 45 darjah.
Pada 2020, pelan dikemas kini bagi menyesuaikan laluan dengan pembinaan sistem metro berdekatan. Bagaimanapun, dokumen dalaman PWD menyatakan bahawa pihak jabatan kereta api tidak mengubah lukisan mereka dan terus menjalankan pembinaan tanpa mengambil kira lokasi dan syarat sebenar.
Ini akhirnya menyebabkan jajaran jambatan bertindih dengan jajaran metro yang dirancang.
Sebagai tambahan kepada tindakan ke atas jurutera, firma arkitek M/s Puneet Chaddha dan perunding reka bentuk M/s Dynamic Consultant juga telah disenaraihitamkan kerana menyerahkan reka bentuk yang didapati bermasalah.
Ketua Menteri Madhya Pradesh, Mohan Yadav, berkata: “Saya telah melihat sendiri kecuaian serius dalam pembinaan jambatan jalan Aishbagh ini dan mengarahkan siasatan dijalankan. Berdasarkan laporan yang diterima, tindakan tegas telah diambil terhadap lapan jurutera terbabit.”
Beliau turut mengumumkan penubuhan sebuah jawatankuasa untuk meneliti dan membaiki struktur jambatan sebelum ia dibuka kepada umum.
“Kerajaan ini bersikap tegas dan bertanggungjawab. Mana-mana pegawai yang cuai akan dikenakan tindakan, manakala berprestasi baik bakal diberikan penghargaan,” tambah beliau.