KLIMS 2024: PROTON PAMER PROTON X50 SE, PROTON S70 R3 DAN e.MAS 7
Sempena Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024, yang berlangsung di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Proton mengambil peluang berkenaan untuk mempamerkan pelbagai model baharu termasuk kereta elektrik (EV) pertama jenama Malaysia, Proton e.MAS 7.
Selain e.MAS 7, pengunjung akan berpeluang melihat kereta lumba Proton S70 R3, konsep Proton X50 Sport Edition (SE), serta barisan model semasa seperti Proton X50 2024, Proton X70 2025, Proton X90, Proton S70, serta Proton Saga.
Memanfaatkan kerjasama strategik bersama Geely, Proton e.MAS 7 merupakan SUV segmen C yang menawarkan dua varian, iaitu Prime dan Premium.
Model ini hadir dengan ruang dalaman terbaik dalam kelasnya dan dilengkapi ciri keselamatan canggih seperti Advanced Driver Assistance System (ADAS) Tahap 2.
Pratonton terakhir di KLIMS 2024 menandakan permulaan perjalanan baharu Proton ke arah menjadi jenama automotif bertaraf dunia, dengan e.MAS 7 menjadi simbol komitmen Proton terhadap mobiliti masa depan.
Proton S70 R3, yang mencuri perhatian dengan penyertaan sulungnya di perlumbaan Sepang 1000km (S1K) pada 23 November 2024, akan dipamerkan dalam keadaan seperti mana ia menamatkan perlumbaan.
Pengunjung juga boleh bertemu pasukan R3 (Race, Rally, Research) dan pemandu mereka pada hujung minggu untuk sesi bergambar dan interaksi bersama peminat.
Proton X50 Sport Edition (SE) pula adalah model konsep yang direka untuk mempamerkan potensi evolusi reka bentuk SUV terlaris Proton.
Penampilannya di KLIMS 2024 bertujuan mengumpul maklum balas orang ramai, yang mungkin menjadi asas kepada model masa depan lebih berani.
Aktiviti dan Promosi Eksklusif KLIMS 2024
Selain pameran kereta, pengunjung KLIMS 2024 boleh menikmati pelbagai aktiviti dan promosi menarik, termasuk:
- Pertunjukan LED 3D interaktif.
- Baucar servis bernilai RM500 dan rebat tambahan hingga RM2,000 untuk model terpilih.
- Promosi Proton Vaganza Akhir Tahun, dengan rebat sehingga RM7,000 untuk model seperti Proton X50 2024 dan Proton X70 2025.
- Pakej nilai tambahan dengan servis percuma selama dua tahun dan penjimatan jangka panjang.
Proton terus mengukuhkan kedudukannya di pasaran dengan inovasi, prestasi, dan nilai terbaik kepada pelanggan.
Jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada pengalaman ini di KLIMS 2024!
- BACA: KLIMS 2024: AION ES 2025 DILANCARKAN, JARAK GERAK 442KM, HARGA BERMULA RM106K
- BACA: KLIMS 2024 – DAH TENGOK MODEL KONSEP TOYOTA KOYAIBAKO? MOBILITI DENGAN PELBAGAI FUNGSI
- BACA: KLIMS 2024: GWM TANK 500 MASUK PASARAN MALAYSIA TAHUN DEPAN – 7 TEMPAT DUDUK, JANA 258KW
- BACA: KLIMS 2024: MPV MEWAH, WEY 80 TAWAR JARAK GERAK 150KM, JANA KUASA 487PS