Buletin

HONDA BAKAL LANCAR PLATFORM GLOBAL PADA TAHUN 2020 – VARIAN DIKURANGKAN 66%

Honda kini dilapor sedang sibuk untuk memperkemaskan lagi operasi globalnya dan menjadikan proses pengilangan lebih efisien.

Pengeluar kenderaan berpengaruh dari Jepun itu mengumumkan bahawa ia akan mengurangkan varian untuk pasaran Amerika Utara dan rantau lain, selain menyusun semula asas produknya.

Honda kini dilihat terpaksa menambah baik kecekapan kerana pelaburan ke atas teknologi generasi seterusnya memberi impak besar ke atas keuntungannya.

Pada 8 Mei lalu, Honda melaporkan keuntungan operasi fiskal tahun lalu jatuh sebanyak 18 peratus. 

Platform baharu

Ketua Pegawai Eksekutf Honda, Takahiro Hachigo memberitahu pihaknya akan melancarkan platform kenderaan baharu tahun depan. Selain bakal memperkenalkan dua sistem hibrid ke dalam semua rangkaian keretanya. 

Model-model global seperti Fit/Jazz, Civic, Accord, HR-V/Bezel dan CR-V akan mewakili satu pertiga daripada variasi model sedia ada menjelang tahun 2025.

Ini bermakna Honda tidak akan mengurangkan jumlah model, sebaliknya mengurangkan varian sehingga 66 peratus. Dikenali sebagai Honda Architecture, ia akan dilancarkan tahun depan.

Hachigo tidak berkongsi sebarang maklumat mengenai model yang menggunakan platform baharu itu, tetapi memberitahu ia berkongsi 70 peratus komponen seperti ruang enjin, kabin dan penyimpanan barang.

Lebih menarik lagi, Honda Architecture boleh mengurangkan tempoh pembangunan produk massa sehingga 30 peratus menjelang tahun 2025.

Guna sepenuhnya kapasiti kilang

Manakala model yang dipasarkan mengikut rantau seperti N Series di Jepun, Pilot untuk Amerika Syarikat dan Crider di China juga akan disatukan untuk memantapkan lagi aspek produksi serta pembangunan produk.

Pada masa depan, Honda akan menggabungkan sejumlah model serantaunya menjadi model-model baharu yang boleh dipasarkan di banyak pasaran serantau.

Honda meletakkan sasaran penggunaan kapasiti 100 peratus menjelang tahun 2020, naik 90 peratus berbanding sekarang. Hasilnya, ia mahu mengurangkan kos produksi sebanyak 10 peratus menjelang tahun 2025.

Google ads
Back to top button