Buletin

HONDA CIVIC TYPE R LIMITED EDITION – LEBIH ‘HARDCORE’!

Kepada yang mahukan sesuatu lebih hardcore dan fokus berbanding Honda Civic Type R biasa, ini jawapannya. Honda Civic Type R Limited Edition yang hanya 100 unit dibuat untuk pasaran Eropah.

Varian ini dibuat untuk menjadi sebuah hatchback pacuan roda depan paling dinamik di pasaran dengan fokus pada prestasi di litar lumba.

Dengan itu, komponen ringan digunakan termasuk yang asal dibuang menjadikannya versi Type R paling ekstrem pernah dihasilkan. Masih ingat dengan Euro Type R? Ini adalah model kesinambungannya.

Di antara komponen istimewa pada Civic Type R LE ialah roda aloi BBS forged 20 inci dengan tayar Michelin Cup 2 yang direka untuk pemanduan berkelajuan tinggi di litar tetapi masih sesuai di atas jalan raya.

Suspensi turut diubah suai bagi mengoptimumkan gabungan roda dan tayar baharu manakala stereng dikalibrasi semula untuk kawalan maksimum dan respon.

Sebagai refleksi kepada karakter ekstrovert, Civic Type R ditawarkan eksklusif dalam warna Sunlight Yellow dan logo Civic pada but berwarna krom gelap.

Juga istimewa ialah cermin sisi dan bumbung berwarna hitam kilat.

Bahagian dalam dilengkapi kerusi bucket dan stereng balutan Alcantara warna merah dan setiap model dilekatkan plak nombor siri yang dimulakan dengan perkataan Euro.

Sebagai sebuah kereta yang difokuskan pada litar lumba, Honda telah menanggalkan sistem info hibur, penyaman udara dan penggilap cermin belakang bagi mengurangkan berat. 

Masih tidak cukup, penebat bunyi pada bumbung, panel pintu but, bampar depan dan papan pemuka telah dikurangkan. Hasilnya sebanyak 47 kg berat berjaya dikurangkan berbanding Type R biasa.

Meskipun lebih hardcore, Civic Type R LE ini mempunyai teknologi bantuan pemanduan Honda SENSING seperti Collision Mitigation Braking System with Forward Collision Warning, Road Depature Mitigation with Lane Departure Warning, Lane Keeping Assist dan Adaptive Cruise Control.

Anda boleh membelasah model ini dilitar tetapi sebaik sahaja di atas jalan raya, teknologi bantuan pemanduan pula menyerlah untuk keselamatan pemandu dan pengguna jalan raya lain.

Berkenaan enjin, Honda tidak memaklumkan apa-apa perubahan kecuali kekal seperti biasa. Kuasa maksimum enjin 2.0L VTEC Turbo itu ialah 320PS pada 6,500 rpm dan tork 400Nm dari 2,500 rpm hingga 4,500 rpm.

Pecutan dari 0 hingga 100 km/j pula mengambil masa 5.7 saat.

Harga akan ditentukan kemudian dan setakat ini Honda hanya mengesahkan ia akan dijual di Eropah dan Amerika Syarikat.

Seperkara lagi, Civic Type R LE sedikit berbeza di antara versi Eropah dan AS termasuk jumlah edaran 600 unit berbanding 100 unit di Eropah.

BACA: HONDA CIVIC TYPE R FL MASUK AS, WARNA BAHARU BOOST BLUE

BACA: PADA 2001 HONDA INTEGRA iS DIPERKENAL (BUKAN TYPE R)

BACA: HONDA BS-VI ACTIVA 6G, DARI RM3.6K SAHAJA DI INDIA

Kredit foto: Honda

Tags
Google ads
Back to top button