Buletin

TEKNOLOGI KOMPUTER – TOYOTA DAN VW KETINGGALAN 6 TAHUN BERBANDING TESLA

Toyota dan Volkswagen masing-masing menjual sekitar 10 juta unit kenderaan setahun. Tesla pula hanya menyerahkan 367,500 unit kereta pada tahun 2019. 

Namun, apabila berbicara tentang teknologi elektronik, syarikat milik Elon Musk itu sebenarnya jauh lebih maju berbanding dua gergasi automotif tersebut. 

Satu laporan yang dibuat oleh Nikkei Business Publication yang membuka Model 3, varian Tesla paling mampu milik di Amerika Syarikat mendapati ia dilengkapi teknologi yang cukup hebat. 

Komponen yang paling menyerlah ialah unit kawalan bersepadu atau komputer janaan sendiri Tesla. Dikenali sebagai Hardware 3, teknologi itu merupakan senjata terbesar Tesla dalam pasaran kenderaan elektrik (EV) yang kian berkembang. 

Malah, seorang jurutera dari pengeluar kenderaan Jepun yang sempat meneliti komputer itu tercengang dan kagum. “Kami tidak mampu menghasilkannya,” kata dia. 

Modul yang diperkenalkan pada musim luruh tahun lalu serta dipasang pada Model 3, Model S dan Model X itu terdiri daripada dua unit chip AI custom. Tesla membangunkan sendiri chip berkenaan bersama satu perisian khas untuk melengkapkan perkasakan itu. 

Komputer itu menggerakkan teknologi autonomi dan sistem infohibur tercanggih Tesla. Platform elektrik yang dipaksikan oleh sebuah komputer berkuasa tinggi itu berfungsi mengendalikan muatan data yang besar untuk kegunaan kenderaan autonomi serta lebih pintar pada masa depan. 

Pemerhati industri menjangkakan teknologi ini dapat dikeluarkan paling cepat pada tahun 2025. Ini bermakna, Tesla sudah berjaya mengalahkan para pesaingnya enam tahun lebih awal. Kesannya, akan wujud jurang teknologi industri yang sangat besar nanti. 

Tesla membina pusat saraf digital ini menerusi satu siri naik taraf sistem autopilot asal yang diperkenalkan pada tahun 2014. Tahun demi tahun, Tesla meningkatkan keupayaan sistem itu untuk menjadi sebuah komputer pemanduan autonomi sepenuhnya. 

Sekali fikir, tiada apa yang boleh menghalang Toyota atau Volkswagen daripada melakukan perkara sama lebih awal dari tahun 2025. Apatah lagi mereka mempunyai sumber kewangan dan kakitangan yang besar. Namun, kekangan teknologi bukanlah puncanya. 

Habis tu kenapa? Pengeluar kenderaan bimbang komputer seperti Tesla akan menghapuskan rantaian bekalan yang telah mereka bina berpuluh-puluh tahun lamanya. Sistem canggih itu pasti mengurangkan jumlah unit kawalan elektronik atau ECU di dalam kereta secara drastik.  Bagi pembekal yang bergantung kepada komponen ini, ia adalah soal hidup dan mati mereka.  

Jadi, pengeluar kenderaan berskala besar seperti Toyota dan Volkswagen rasa bertanggungjawab untuk terus menggunakan pelbagai ECU itu, yang mungkin hanya ada beberapa ketul di dalam Tesla Model 3. 

Sedangkan syarikat muda seperti Tesla tidak terikat dengan pembekal dan bebas untuk mendapatkan teknologi terbaik. 

Satu lagi perkara yang menarik ditemui ialah kebanyakan alat ganti pada Model 3 tidak membawa nama pembekal. Sebaliknya, ia menggunakan logo Tesla. Ini menunjukkan bahawa Tesla mengawal ketat pembangunan kebanyakan teknologi pentingnya. 

Daripada perisian kepada sistem pemanduan elektrik, Tesla dilihat terus menghasilkan sendiri pembangunan teknologinya. Jika strategi ini berjaya, pesaing lain tidak ada banyak pilihan selain akur. Tinggalkan model perniagaan lama dan rantaian bekalan sedia ada, kemudian cuba mengejar Tesla. – Nikkei Asian Review

Google ads
Back to top button