Buletin

HONDA HENTI JV DENGAN GM TAMATKAN PENGELUARAN SISTEM SEL BAHAN API!

Honda mengumumkan keputusan besar yang menandakan perubahan hala tuju teknologinya. Pengeluaran model semasa sistem sel bahan api di fasiliti Fuel Cell System Manufacturing LLC FCSM di Brownstown Michigan akan dihentikan sepenuhnya sebelum akhir 2026.

FCSM ialah sebuah usaha sama di antara Honda dan General Motors dan keputusan ini menutup satu bab penting dalam eksperimen bersama dua gergasi automotif dunia.

Namun ia tidak menamatkan keseluruhan hubungan teknologi antara kedua dua syarikat. Honda dan GM masih mengekalkan beberapa kerjasama lain di luar bidang sel bahan api.

Tamat Satu Era Kerjasama Teknologi

Ditubuhkan pada Januari 2017 di Michigan FCSM ialah usaha sama pertama dalam industri automotif yang dibentuk khusus untuk menghasilkan sistem sel bahan api berteknologi tinggi.

Honda dan GM menggabungkan kepakaran masing-masing dalam pembangunan pengeluaran dan perolehan komponen.

Hasilnya, mereka berjaya menghasilkan sistem sel bahan api yang berkualiti tinggi dan tahan lasak. Sistem ini juga mampu beroperasi pada suhu rendah.

Selain itu, mereka memperkenalkan teknologi pengeluaran yang lebih moden serta berjaya mengurangkan kos melalui penyelarasan pembekal.

Susulan kerjasama ini menghasilkan beberapa pencapaian positif, kedua-dua syarikat mengadakan perbincangan menyeluruh mengenai kelangsungan perniagaan FCSM dan akhirnya mencapai persetujuan untuk menamatkan pengeluaran sistem sel bahan api di FCSM.

Peralihan Honda Kepada Sistem Generasi Baharu

Sel bahan api baharu dari Honda

Apabila pengeluaran dihentikan, Honda akan beralih sepenuhnya kepada sistem sel bahan api generasi baharu yang sedang dibangunkan secara bebas oleh Honda.

Sistem sel bahan api generasi baharu ini akan menjadi asas kepada strategi hidrogen Honda.

Teknologi baharu tersebut akan menyokong usaha Honda untuk mengembangkan peluang perniagaan berkaitan hidrogen.

Honda juga merancang untuk memperluas penggunan hidrogen, bukan sahaja pada produk mobiliti, tetapi turut meliputi penggunaan dalam penyelesaian tenaga dan bidang industri.

Fokus Honda Terhadap Neutral Karbon dan Impak Alam Sekitar Sifar

Honda kekal komited untuk mencapai neutral karbon bagi semua produk dan operasi korporat menjelang 2050.

Syarikat menekankan bahawa usaha ini merangkumi keseluruhan kitar hayat produk, termasuk semua aktiviti perniagaan.

Strategi alam sekitar Honda dibina di atas tiga paksi utama iaitu neutral karbon, tenaga bersih, dan kitaran sumber.

Selain itu, Honda meletakkan hidrogen bersama elektrik sebagai pembawa tenaga berpotensi tinggi dan syarikat telah menjalankan penyelidikan serta pembangunan teknologi hidrogen dan sel bahan api selama lebih 30 tahun.

Lonjakan ke Hadapan

Keputusan menamatkan operasi FCSM bukanlah langkah kebelakang.

Ia adalah langkah strategik untuk membina platform teknologi baharu yang lebih fokus dan berdaya saing dalam era elektrifikasi masa depan.

Era kerjasama Honda GM mungkin berakhir untuk sistem sel bahan api di FCSM, tetapi era teknologi hidrogen Honda yang lebih matang, bebas dan fokus kini baru sahaja bermula.

Google ads
Back to top button