
CHERY CORPORATE MALAYSIA MULAKAN EKSPORT KENDERAAN KE PASARAN BRUNEI
Chery Corporate Malaysia Sdn Bhd mencatat satu lagi pencapaian penting apabila memulakan eksport kenderaan ke Brunei, sekali gus menjadikannya pasaran kedua syarikat itu di rantau ASEAN selepas Vietnam.
Langkah berkenaan dilihat sebagai sebahagian daripada perancangan jangka panjang Chery untuk memperkukuh kehadiran serantau, selain mengukuhkan peranan Malaysia sebagai pusat pengeluaran dan eksport bagi jenama OMODA dan JAECOO.
Naib Presiden Eksekutif Chery Corporate Malaysia, Men Lin Bo berkata, pasaran eksport memainkan peranan utama dalam hala tuju pertumbuhan syarikat di Asia Tenggara.
“Pengembangan ke luar negara adalah antara tonggak penting strategi kami. Kami optimis momentum pertumbuhan ini dapat dimanfaatkan untuk memperluaskan capaian jenama ke lebih banyak negara ASEAN,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi Naib Presiden Eksekutif, Cheng Nam Weng memaklumkan, pemilihan Brunei dibuat berdasarkan potensi pasaran dan kedudukannya yang strategik, selepas syarikat memulakan eksport ke Vietnam pada Februari 2025.
Menurut beliau, penghantaran awal model JAECOO J7 bertujuan menilai tahap penerimaan pengguna tempatan, selain membina asas kukuh bagi operasi jangka panjang di negara tersebut.
“Langkah ini membolehkan kami memahami keperluan pasaran Brunei dengan lebih dekat sebelum memperluaskan tawaran produk pada masa akan datang,” katanya.
Bagi penghantaran sulung itu, sebanyak 124 unit kenderaan dihantar, terdiri daripada 120 unit JAECOO J7 versi hibrid plug-in (PHEV) dan empat unit JAECOO J7 enjin pembakaran dalaman (ICE) pacuan dua roda.
Kesemua kenderaan berkenaan dipasang di fasiliti pengeluaran Chery di Shah Alam dan mempunyai spesifikasi yang setara dengan model dipasarkan di Malaysia.
Chery Corporate Malaysia sebelum ini turut menembusi pasaran Vietnam, Indonesia dan Thailand, dan kini merangka strategi tersusun untuk memperluaskan lagi rangkaian eksport ke negara-negara ASEAN lain.
Dalam tempoh jangka pertengahan, syarikat memberi keutamaan kepada pertumbuhan mampan dengan menumpukan usaha membina kedudukan kukuh di pasaran utama seperti Vietnam dan Brunei.
Penilaian berterusan terhadap prestasi jualan, maklum balas pelanggan serta perkembangan pasaran akan dijadikan panduan bagi menentukan hala tuju pengembangan seterusnya di rantau ini.



