Buletin

XPENG TUBUH PASUKAN RANTAIAN BEKALAN TEMPATAN DI EROPAH, ASEAN MULAI TAHUN INI

Pengeluar kenderaan elektrik China, XPENG, akan menubuhkan pasukan rantaian bekalan tempatan di Eropah dan ASEAN bermula 2026 bagi mempercepat pengembangan globalnya.

Langkah itu mengukuhkan strategi “In Local, For Local” syarikat, melengkapkan operasi sedia ada merangkumi pengeluaran, penyelidikan dan pembangunan (R&D), perkhidmatan serta pengurusan data di luar China.

Pasukan baharu ini akan mengurus pembekal serantau, meningkatkan kecekapan operasi serta mempercepat tindak balas rantaian bekalan, sekali gus menyokong pengeluaran tempatan untuk pasaran global.

XPENG sebelum ini memulakan projek pengeluaran tempatan di Eropah dan Asia Tenggara pada 2025, selain memiliki pusat R&D di Eropah dan hab alat ganti di Timur Tengah.

Pada 2025, penghantaran luar negara XPENG meningkat 96 peratus kepada 45,008 unit, dengan kehadiran di 60 negara dan wilayah.

Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif XPENG, He Xiaopeng, berkata syarikat yakin separuh daripada jualannya akan datang dari pasaran global dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Menurut XPENG, penyetempatan rantaian bekalan akan membantu mengurangkan kos logistik, memendekkan tempoh penghantaran dan mempercepat perkhidmatan selepas jualan, termasuk melalui hab pengeluaran serantau seperti di Malaysia untuk pasaran ASEAN.

Syarikat itu turut menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam pengurusan rantaian bekalan serta meneroka bidang pembuatan maju seperti robotik dan kenderaan terbang.

Google ads
Back to top button