Artikel PilihanBuletin

HONDA KEKAL KOMITED TERHADAP ELEKTRIFIKASI. HIBRID JADI TUNJANG STRATEGI GLOBAL

Walaupun pasaran kenderaan elektrik (EV) global menunjukkan pertumbuhan yang lebih perlahan daripada jangkaan, Honda Motor Co. Ltd menegaskan pendirian bahawa elektrifikasi kekal sebagai hala tuju utama masa depannya.

Perkara itu dinyatakan sendiri oleh Pengarah, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Motor Co. Ltd, Toshihiro Mibe dalam satu sesi temuramah khas bersama media di ibu pejabat Honda di Tokyo, Jepun baru-baru ini. 

Menurut Mibe, Honda sebenarnya tidak berganjak daripada matlamat jangka panjang untuk mencapai neutral karbon global, sambil menekankan bahawa kenderaan elektrik sepenuhnya masih merupakan penyelesaian terbaik bagi mobiliti rendah karbon.

“Pertumbuhan pasaran EV sememangnya lebih perlahan daripada yang dijangka, tetapi dalam jangka sederhana dan panjang, EV tetap menjadi arah utama industri automotif. Honda akan terus memperkukuh usaha penyelidikan dan pembangunan melalui platform baharu Honda Zero Series yang dibangunkan khusus untuk model elektrik sepenuhnya,” jelas Mibe.

Platform Baharu & Teknologi Hibrid Generasi Seterusnya

Honda kini sedang sibuk membangunkan platform EV generasi baharu yang akan menjadi asas kepada model masa depan. Teknologi ini akan terus berevolusi dan menjadi teras kepada strategi elektrifikasi syarikat.

Dalam masa sama, Mibe memberitahu permintaan global terhadap kenderaan hibrid masih menunjukkan peningkatan ketara, menjadikan teknologi tersebut komponen penting dalam pelan elektrifikasi Honda.

“Kami sedang merancang untuk memperkenalkan sistem hibrid bersaiz sederhana generasi baharu menjelang 2027, diikuti sistem untuk model bersaiz besar.  Pendekatan ini akan melengkapkan barisan hibrid penuh Honda, daripada model kompak hingga ke segmen besar,” kata Mibe. 

Sistem dua motor iaitu satu untuk pacuan dan satu lagi untuk penjanaan tenaga akan terus digunakan serta boleh disesuaikan untuk konfigurasi plug-in hybrid (PHEV) bergantung kepada keperluan pasaran.

Tidak Berundur Dari EV, Hanya Menyemak Semula Strategi

Menjawab persoalan sama ada tumpuan terhadap hibrid menandakan pengurangan pelaburan dalam EV, Mibe menolak dakwaan itu. Katanya, Honda tidak menghentikan pembangunan EV, sebaliknya menilai semula barisan model serta jumlah pengeluaran agar lebih seimbang dengan realiti pasaran semasa.

“Kami tidak mengurangkan pelaburan terhadap EV. Apa yang kami lakukan ialah menyemak semula jadual pelancaran dan bilangan model supaya lebih sejajar dengan permintaan sebenar.

“Honda mempunyai lebih 25 tahun pengalaman dalam pembangunan teknologi hibrid. Kepakaran ini membolehkan kami menghasilkan model baharu dengan kos yang lebih efisien tanpa menjejaskan prestasi,” jelas Mibe lagi.

Sasaran Jualan & Pendekatan Seimbang

Menjelang tahun 2030, Honda menyasarkan jualan melebihi dua juta unit kenderaan hibrid di seluruh dunia. Langkah ini bakal menjadikan teknologi hibrid sebagai teras utama operasi global syarikat sebelum peralihan penuh kepada EV.

Mibe turut menegaskan bahawa Honda kini mengambil pendekatan seimbang dan berperingkat dalam usaha mencapai neutral karbon. Ini termasuk mengekalkan pelaburan terhadap EV, memperkukuh barisan model hibrid, serta menyesuaikan strategi mengikut keperluan pasaran di setiap rantau.

“Strategi kami ialah memastikan peralihan ke arah mobiliti rendah karbon berlaku secara realistik dan mampan untuk pelanggan di seluruh dunia. Elektrifikasi bukan perlumbaan siapa yang lebih cepat, tetapi perjalanan berterusan untuk memastikan teknologi baharu benar-benar boleh diakses dan diterima semua,” katanya. 

Pendekatan Honda menggambarkan realiti semasa industri automotif global di mana EV masih dianggap masa depan, tetapi hibrid menjadi jambatan penting ke arah masa depan itu.

Dengan pengalaman lebih dua dekad dalam pembangunan sistem hibrid dan komitmen kukuh terhadap inovasi EV, Honda dilihat terus berpegang pada prinsip bahawa elektrifikasi mesti dilaksanakan secara evolusi, bukan revolusi.

Google ads
Back to top button