Buletin

HONDA JADI PERINTIS JUAL KENDERAAN SECARA ONLINE DI PASARAN JEPUN

Honda menjadi pengeluar automotif Jepun pertama menawarkan perkhidmatan jualan kenderaan secara online kepada para pelanggan di pasaran negara terbabit.

Perkhidmatan berkenaan yang dikenali sebagai Honda ON ditawarkan kepada penduduk Tokyo melalui langganan kontrak sebelum ia diperluaskan ke seluruh negara.

Honda ON membenarkan para pelanggan melengkapkan semua proses pembelian melalui platform online bermula dari khidmat nasihat sehingga kontrak.

Melalui perkhidmatan baharu itu, para pelanggan boleh memilih kontrak selama tiga atu lima tahun untuk model N-Box, Fit, Freed ataupun Vezel (HR-V).

Mereka akan membayar ansuran bulan termasuk kos kenderaan dan penyelenggaraan malah diberi pilihan untuk memiliki kenderaan tersebut selepas tamat langganan kontrak.

Para pelanggan boleh memilih pengedar Honda pilihan mereka untuk mendapatkan kenderaan serta penyelenggaraan.

Langganan bermula dari AS$279 (RM 1,162) sebulan untuk N-Box manakala Fit pula AS$382 (RM1,592), Freed (RM1,829) dan Vezel (RM1,813) termasuk cukai.

Dalam pada itu, para pelanggan juga boleh menempah slot pandu uji melalui perkhidmatan Honda ON sebelum membuat keputusan membeli kenderaan pilihan. –carscoops

Google ads
Back to top button