Motosikal

DUCATI MULTISTRADA V2 2022, YANG INI PUN DAH BAGUS!

Pada September lepas Ducati Malaysia melancarkan Multistrada V4 dengan harga bermula dari RM135,900. Multistrada V4 canggih dengan teknologi radar pada bahagian depan dan belakang dan motosikal pertama di dunia dilengkapi sistem kawalan jelajah adaptif.

Pada penghujung bulan yang sama juga Ducati memperkenalkan Multistrada V2 dan V2S 2022 di Eropah dan dikatakan sebagai motosikal ideal untuk menjelajah setiap laluan, versatil bagi kegunaan harian dan di bandar selain dari gaya yang sinonim dengan Ducati.

Dalam membangunkan Multistrada V2 fokus utama Ducati ialah ergonomik, pengurangan berat, kemaskini enjin dan beberapa lagi naik taraf.

Multistrada V2 digerakkan enjin 937 cc Testastretta 11 darjah berkuasa 113 hp pada 9,000 rpm dan tork 96 Nm pada 7,750 rpm. 

Enjin V berkembar itu dipasang komponen baharu seperti rod penyambung dan klac hidraulik lapan cakera serta kotak gear enam kelajuan yang dikemaskini untuk lebih jitu semasa pertukaran gear.

Turut dilengkapi ialah quick shifter dengan operasi lebih optimum.

Selari dengan enjin model baharu lain, sela penyelenggaraan dilanjutkan setiap 15,000 km untuk penukaran minyak enjin dan pemeriksaan valve clearance pula setiap 30,000 km.

Dari segi reka bentuk, model baharu ini berbeza berbanding si abang Multistrada V4 atau Multistrada 950 sebelumnya. Kekal membawa karakteristik sebuah Ducati, Multistrada V2 tampil lebih kontemporari dan sesuai dengan peredaran masa.

Untuk pengendalian, Multistrada dilengkapi penyerap hentak separa aktif Ducati Skyhook Suspension EVO (standard untuk Multistrada S) yang mampu menyerap kekasaran dan permukaan tidak rata dan berada pada tetapan yang ideal seterusnya meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan.

Memenuhi ciri ergonomik yang baik, tinggi Multistrada dikurangkan kepada 830 mm dengan bentuk pelana lebih langsing dan kompak di antara kedua-kaki penunggang supaya lebih mudah untuk menjejak kaki ke bawah.

Jika komponen standard tidak bersesuaian, Ducati Performance menawarkan pelana rendah dan kit suspensi yang direndahkan untuk ketinggian 790 mm.

Posisi tunggangan juga lebih selesa dengan pemijak kaki dikongsi dari Multisrada V4 dan melalui pertambahan jarak 10 mm dari pelana membolehkan lebih ruang untuk penunggang tinggi agar kaki tidak terlalu membengkok dan selesa untuk tunggangan jarak jauh.

Satu lagi perubahan signifikan yang dibuat ialah pengurangan berat sebanyak 5 kg berbanding Multistrada 950. 

Pengurangan berat itu disumbang oleh enjin sekitar 2 kg dengan klac dan penutup sebanyak 1.5 kg dan beberapa lagi komponen seperti gearbox drum dan rod penyambung.

Turut membantu dalam pengurangan berat ialah cermin sisi dari Multistrada V4, flange cakera brek depan dan roda juga dari Multistrada V4 dan 1.7 kg lebih ringan. 

Pakej elektronik Multistrada V2 didatangkan standard dengan ABS cornering, Vehicle Hold Control, Ducati Traction Control, dan empat mod tunggangan iaitu Sport, Touring, Urban dan Enduro.

Turut dilengkapi ialah Ducati Brake Light yang menyala secara berkelip apabila brek ditekan secara mengejut.

Multistrada V2 lebih komprehensif dengan sistem kawalan jelajah, lampu LED dengan Ducati Cornering Lights, Ducati Quick Shift Up & Down, sistem bebas tangan, skrin 5 inci berwarna resolusi tinggi TFT dan nyalaan belakang pada kawalan handel.

Untuk warna, kedua-dua Multistrada V2 dan V2S didatangkan dengan Ducati Red dan roda hitam manakala Street Grey dan roda GP Red khusus untuk Multistrada V2S yang turut boleh dipesan bersama kit Travel yang merangkumi beg sisi, grip pemanas dan tongkat tengah.

Ducati Multistrada akan berada di pengedar Eropah bermula November 2021 dan untuk pasaran tempatan pula biasanya ditawarkan dalam tempoh beberapa bulan selepas pelancaran global atau tahun depan (belum disahkan).

Untuk rekod, Ducati Multistrada 950 yang dijual di pasaran tempatan pada tahun 2017 berharga RM85,900.00 termasuk GST.

Google ads
Back to top button