HONDA STEPWGN 2020, ALTERNATIF KEPADA ODYSSEY
Nissan Serena, Mazda Biante, Toyota Voxy dan Honda STEPWGN adalah MPV yang ‘sepesen’. Bentuknya tinggi dan langsing yang mana pasaran terbesar adalah di Jepun.
Walaupun begitu, MPV tersebut turut ditawarkan di beberapa pasaran terpilih seperti Serena dan Biante di negara kita. MPV lain seperti Voxy dan STEPWGN pula dibawa masuk oleh pengimport bebas.
Secara tradisinya, MPV tersebut mengisi ruang di antara MPV kecil seperti Toyota Wish dan Honda Stream dan MPV besar seperti Toyota Vellfire dan Honda Odyssey.
Di negara kita, ada dua model STEPWGN yang boleh ditemui di dalam laman web jual beli iaitu generasi ketiga dan kelima. Kedua-dua generasi itu mempunyai reka bentuk menarik yang tidak kelihatan terlalu ‘jinjang’.
Harga STEPWGN generasi ketiga ialah sekitar RM45,000 manakala generasi kelima RM144,000.
STEPWGN yang berada di pasaran sekarang memasuki tahun kelima dan Honda baru sahaja melancarkan model dipertingkatkan di Jepun.
Dari luar, model itu kelihatan sama sahaja seperti model facelift 2017. Apa Honda buat ialah menawarkan nadi kuasa sistem hibrid dua motor di bawah nama e:HEV yang baru diperkenalkan khusus untuk model elektrifikasi.
Bahagian dalam SPADA dan e:HEV SPADA pula menggunakan bahan FABTECT yang kalis air dan mudah untuk dicuci apabila terkena kotoran minyak atau minuman.
Dari segi enjin, STEPWGN ditawarkan dengan dua pilihan iaitu 1.5L VTEC
TURBO, 2.0L DOHC i-VTEC + i-MMD. Transmisi dan pacuan juga dua iaitu CVT dan ECVT (hibrid), FF dan 4WD.
Bagi aspek keselamatan, kesemua varian dilengkapi teknologi Honda Sensing. Teknologi canggih itu nampaknya seperti sudah standard untuk model-model Honda di Jepun.
Untuk pengguna yang mahukan varian sporti, Honda menawarkan Modulo X dengan reka bentuk bampar berbeza. Konsep yang dibawa mirip varian Modulo X pada model HR-V dan S660.
Di Jepun, Honda STEPWGN dijual dari JPY2,714,800 (RM100,166) untuk varian G Honda SENSING 1.5L sehingga JPY4,449,500 (RM164,171) untuk varian paling premium e: HEV Modulo X Honda SENSING 2.0 hibrid.
Pada harga itu dan Odyssey yang berada di aras premium, Honda Malaysia patut mempertimbangkan secara serius bagi menawarkan STEPWGN di pasaran ASEAN dan tempatan.
- BACA: HONDA S660 DAN S660 MODULO X 2020, COMEL SEPERTI BIASA
- BACA: HONDA SUPER CUB 50 STREET & 110 STREET JDM, KLASIK TAPI HARGA…
- BACA: HONDA FIT (JAZZ) MODULO X CONCEPT DI TAS 2020
Kredit foto: Honda