BuletinMotosikal

HONDA SUPER CUB 50 STREET & 110 STREET JDM, KLASIK TAPI HARGA…

Pada awal Januari lalu Boon Siew Honda melancarkan motosikal ikonik Super Cub 125 ke pasaran tempatan.

Berbanding generasi pertama, Super Cub 125 diposisikan sebagai kapcai premium dengan harga RM13,999.

Harga premium itu bukan hanya di pasaran tempatan malah lebih tinggi di Indonesia. 

Di Jepun, pengguna mempunyai lebih pilihan Super Cub yang masih mengekalkan ciri-ciri klasik. 

Pada Februari 2019 Honda telah memperkenalkan edisi istimewa Super Cub 50 Street dan Super Cub 110 Street.

Kedua-dua model itu hanya boleh dipesan dalam masa terhad sahaja iaitu dari 26 Februari hingga 30 Jun 2019.

Super Cub 50/110 Street ditawarkan dalam dua warna klasik iaitu Bonnie Blue and Harvest Beige.

Aura klasik turut menyerlah dengan warna hitam pada enjin, kotak sisi, lengan ayun, penutup rantai, hab roda depan dan belakang dan carrier.

Kedua-dua model ini mempunyai perbezaan yang banyak dengan Super Cub 125.

Dari segi enjin, Super Cub 50 Street (2BH-AA09) menggunakan nadi AA04E bersesaran 49cc manakala Super Cub 100 Street (2BJ-JA44) dengan nadi JA10E 109 cc.

Kuasa enjin 49 cc ialah 3.7 ps pada rpm 7,500 manakala enjin 109cc berkuasa 8.0 ps pada rpm 7,500. Tork pula 3.8 Nm dan 8.5 Nm pada rpm 5,550. 

Kedua-dua enjin mempunyai gear empat kelajuan. Berat Super Cub 50 ialah 96 kg dan pertambahan 3 kg untuk Super Cub 110.

Campuran udara dan minyak dilakukan oleh suntikan elektronik PGM-FI dan kapasiti tangki minyak ialah 4.3L.

Honda mensasarkan untuk menjual 2,000 unit motosikal ini di Jepun.

Dari segi harga, Honda Super Cub 50 Street dijual pada JPY243,000 (RM9,152) manakala Super Cub 110 Street pada JPY286,200 (RM10,779).

Google ads
Back to top button