HONDA BRV VS TOYOTA RUSH VS MITSUBISHI XPANDER
2 3 hari lepas telah tular beberapa gambar Mitsubishi Xpander yang sedang diuji selepas siap dipasang. Berdasarkan makluman awal, Mitsubishi Xpander dipasang di fasiliti pemasangan kenderaan di Pekan Pahang. Jadi sebagai perbandingan, kita akan bandingkan Xpander dengan pesaingnya yang lain iaitu Rush dan juga BRV
Enjin & Transmisi
Xpander akan dikuasakan dengan enjin 1500cc DOHC MIVEC yang menghantar 105 kuasa kuda dan 141Nm tork pada tayar depan. Kesemua kuasa akan melalui automatik 4 kelajuan. Kuasa ini hampir menyamai kuasa enjin dual VVT-i Rush yang turut menggunakan transmisi 4 kelajuan automatik.
Namun Rush menghasilkan tork yang paling rendah di antara ketiga-tiga model ini. Honda BRV yang menggunakan enjin 1500cc SOHC i-VTEC yang menghasilkan 118 kuasa kuda dan 145Nm tork. BRV juga ada kelebihan dengan menggunakan transmisi CVT yang lebih menjimatkan petrol.
Ini terbukti apabila diuji dalam pemanduan sebenar, BRV dengan berat sekitar 1240kg boleh dipandu sejauh 14.1km bagi setiap liter. Rush dengan berat 1305kg pula menggunakan seliter bagi setiap 13.3km. Laporan dari negara jiran memberikan bacaan penggunaan petrol sekitar 16.2km bagi setiap liter petrol.
Suspensi
Kalau menggunakan cesi monocoque, tetapan yang biasa yang digunakan pada BRV dan juga Xpander ialah topang McPherson pada gandar belakang dan juga torsion beam pada gandar belakang. Rush juga menggunakan topang McPherson pada gandar depan. Namun pada gandar belakang ia menggunakan live axle dengan coil spring dan juga bar penstabil
Dinamik pemanduan akan bergantung pada jenis cesi yang digunakan dan juga sistem gantungan yang dipakai. BRV yang diasaskan dari hibrid Jazz dan juga Honda Brio memang anda seperti seakan akan memandu sebuah sedan dengan tempat duduk ekstra. Tambahan pula papan pemuka pula diambil dari rekaan Jazz dan juga City.
Rush pula disebabkan menggunakan cesi ladder frame akan terasa sedikit keras walaupun ia menggunakan tayar yang besar bagi melembutkan pergerakan. Disebabkan ia tinggi, ia akan terasa seperti membuai ketika mengambil selekoh dengan bersemangat
Xpander menggunakan tayar yang paling lebar di sini. Maklumat pada brosur untuk Xpander versi Thai pula mendedahkan ia memiliki built in strut bar pada gandar depan. Kalau versi Malaysia menggunakan sistem yang sama, saya menjangkakan dinamik pemanduan Xpander lebih memuaskan berbanding dengan BRV.
Xpander turut menyediakan fungsi auto cruise pasif untuk pasaran Filipina.
Cesi
Rush memiliki berat yang lebih berbanding dengan Xpander dan juga BRV kerana ia dibina dengan cesi ladder frame yang lebih kukuh. Dari segi pembinaan Rush lebih kepada SUV berbanding dengan Xpander dan BRV yang menggunakan cesi monocoque. Rush lebih lasak digunakan di jalan tidak rata. Namun BRV dan Xpander akan lebih sedap dipandu di jalan biasa
Dari segi saiz, Xpander lebih panjang, lebih lebar dan hampir sama tinggi dengan Rush. Malah Xpander memiliki jarak antara roda yang paling panjang disini dengan 2775mm. Jadi kami menjangkakan Xpander akan memiliki ruang kargo yang lebih besar, ruang kepala yang lebih luas, dan ruang kaki yang lebih panjang.
Rekaan
Dari segi rekaan, Xpander datang dengan rekaan Dynamic Shield iaitu falsafah baru Mitsubishi. Mungkin nampak sedikit pelik, namun ia nampak lebih segar berbanding dengan BRV dan Rush. Lampu utama dipasang pada bampar depan dan lampu DRL dipasang di bahagian atas.
Namun ia masih lagi kalah kepada Rush yang menggunakan lampu depan LED dengan reflektor cahaya. Lampu belakang Rush dan juga Xpander menggunakan teknologi LED. Xpander dan BRV menggunakan rim bersaiz 16 berbanding dengan Rush yang menggunakan rim bersaiz 17. Tayar Xpander juga lebih lebar berbanding dengan tayar BRV pada saiz 205/55
Keselamatan
BRV dan Xpander hanya menyediakan 2 beg udara SRS pada penumpang depan berbanding 6 yang ada pada Rush. Kesemua model dilengkapi dengan brek ABS, EBD, Kawalan Kestabilan Elektronik, Bantuan Mula Mendaki dan juga sistem kawalan cengkaman Traction Control. Jadi BRV dan Xpander hanya mampu mendapat skor 4 bintang sahaja dalam ASEAN NCAP.
Rush pula diberikan peralatan keselamatan tambahan seperti Pre-Collision System yang akan memberikan amaran jika wujudnya risiko kemalangan dan juga brek pra-perlanggaran. Ia juga dilengkapi dengan sistem amaran titik buta yang datang bersama sistem amaran lintasan trafik belakang.
Sebagai bonus, Rush juga turut menerima sistem kamera sekeliling 360 darjah serta perakam video digital terbina dalam. Semua peralatan tambahan ini menyebabkan Rush mendapat skor 5 bintang dalam ujian perlanggaran ASEAN NCAP.
Jika anda mencari sebuah kenderaan 7 tempat duduk dengan kos efektif, Xpander menawarkan rekaan terbaru dan sedikit besar berbanding dengan pesaingnya yang lain. Kami menjangkakan ia akan mula dipasarkan menjelang suku kedua tahun ini.
BRV pula menawarkan enjin yang paling berkuasa serta transmisi yang lancar bagi pemanduan harian. Toyota Rush pula walaupun datang dengan enjin yang kurang berkuasa, namun ia satu satunya model yang lebih selamat berbanding dengan BRV dan juga Xpander.