
HYUNDAI DEDAH CROSSOVER BAYON. KHAS PASARAN EROPAH JE
Hyundai akhirnya mendedahkan crossover terbaharu yang dikenali sebagai Bayon selepas memperlihatkan lampu hadapan dan belakang melalui beberapa gambar teaser baru-baru ini.
Jentera terbaharu segmen-B tersebut dijangka akan memberi saingan kepada Ford Puma, Volkswagen T-Cross dan Nissan Juke.
Hyundai Bayon itu bakal memasuki pasaran pada musim panas ini dianggarkan dijual pada harga £17,000 (RM96,090).

Hyundai Bayon yang disebut bye-onn memperoleh nama tersebut daripada sebuah bandar di wilayah Basque Country, barat daya Perancis.
Nama berkenaan dipilih berikutan Hyundai membangunkan crossover itu khusus untuk pasaran Eropah sahaja.
Selain itu, jentera terbaharu yang memiliki ukuran dimensi sepanjang 4,180 mm, lebar 1,775 mm dan jarak antara roda sepanjang 2,580 mm tidak dilengkapi keupayaan off-road atau pacuan semua roda.

Bayon dibangunkan berdasarkan i20 hatchback menampilkan rekaan mirip seperti Kona terutama pada bahagian lampu utama DRL LED yang dipisahkan oleh hud daripada bampar.
Ia turut menampilkan lampu belakang berbentuk anak panah.
Bahagian kabin pula, ia jelas sekali mengangkat kemasan dalaman i20 seperti skrin digital 10.25 inci dipadankan di belakang stereng.
Crossover tebaharu itu turut didatangkan skrin sentuh di papan pemuka bersaiz 8 inci bagi versi asas atau pilihan 10.25 inci didatangkan bersama fungsi navigasi.

Pembeli ditawarkan dengan dua versi enjin tiga silinder turbocharge 1.0 liter.
Bagi versi asas, ia mampu menjana kuasa 100 PS dan tork 172 Nm manakala versi lagi power boleh mencecah 120 PS.
Kedua-dua versi enjin dipadankan bantuan mild-hybrid 48 Voltan dan pilihan transmisi manual enam kelajuan atau DCT tujuh kelajuan.
Hyundai Bayon yang akan menjengah pasaran Eropah lebih murah berbanding Kona yang dijual pada harga bermula £21,060 (RM119,039). – carscoops
- BACA: TERJATUH KE CERUN, MANGSA KEMALANGAN PANDU HYUNDAI SONATA HANYA TINGGAL TENGKORAK
- BACA: MALAYSIA MASIH DESTINASI PELABURAN DI ASIA. JANGAN BUAT ANDAIAN PEMINDAHAN HQ HYUNDAI KE INDONESIA
- BACA: PERBINCANGAN SUDAH TAMAT. HYUNDAI TIDAK SUKA DILAYAN SEPERTI PEMBEKAL APPLE
- BACA: ALKISAH EVOLUSI HYUNDAI i20 WRC