Buletin

MALAYSIA MASIH DESTINASI PELABURAN DI ASIA. JANGAN BUAT ANDAIAN PEMINDAHAN HQ HYUNDAI KE INDONESIA

Malaysia terus menjadi destinasi pelaburan bagi pembuatan bernilai tinggi dan perkhidmatan global di Asia.

Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), negara kekal menjadi destinasi pelaburan dengan persekitaran yang menyokong.

Ia termasuk prasarana baik, perkhidmatan telekomunikasi, perkhidmatan kewangan dan perbankan, industri sokongan, tenaga kerja mahir dan boleh dilatih serta peluang pasaran yang ditawarkan menerusi 16 Perjanjian Perdagangan yang ia telah meterai.

MIDA berkata demikian sebagai menyangkal satu laporan akhbar harian Singapura berkaitan pelabur asing yang keluar dari Malaysia, dengan menegaskan bahawa perkara itu tidak benar.

“Laporan itu dengan secara salah menunjukkan bahawa laporan Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNCTAD) mengesahkan apa yang telah diperkatakan berdasaran pemerhatian,” katanya dalam satu kenyataan.

Artikel akhbar berkenaan turut menyentuh berhubung pemindahan ibu pejabat Asia Pasifik syarikat pengeluar kenderaan Hyundai dari Malaysia ke Indonesia.

Hyundai menyasarkan pasaran Asia Tenggara sebagai alternatif pasaran ke China.

Berikutan itu, peranan ibu pejabat Asia Pasifik Hyundai yang beroperasi di Malaysia telah berkembang dan diklasifikasikan sebagai ibu pejabat tidak lengkap kerana tiada kilang pengeluaran di Malaysia.

Dengan kilang pengeluaran baharu di Indonesia, ibu pejabat baharu Hyundai dijangka bakal memiliki ruang lebih luas dengan peningkatan pengeluaran dan jualan.

Permintaan kenderaan Hyundai yang kurang dalam pasaran Malaysia turut menyumbang kepada keputusan pemindahan ibu pejabat berkenaan.

Pada 2020, sembilan syarikat pembuatan milik asing sedia ada dengan jumlah pelaburan RM394.3 juta di Malaysia telah melaksanakan langkah-langkah rasionalisasi perniagaan.

“Syarikat-syarikat ini sama ada menutup perniagaan mereka di Malaysia atau memindahkannya ke negara lain disebabkan gangguan teknologi yang mengubah landskap perniagaan mereka dan mengalami pengurangan permintaan bagi produk mereka.

“Pelaburan ini merupakan sebahagian daripada jumlah pelaburan diluluskan dalam ekonomi bagi tempoh dari Januari hingga September 2020,” katanya.

MIDA menambah ia telah mengenal pasti 240 projek pelaburan asing berprofil tinggi termasuk syarikat Fortune 500 dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan dengan gabungan potensi nilai pelaburan sebanyak RM81.9 bilion.

“Ketika ini, MIDA juga menerima potensi pelaburan bernilai RM47.7 bilion ke dalam negara. Projek-projek ini, apabila diluluskan kelak, dijangka dilaksanakan pada tahun 2021 hingga 2022,” katanya.

MIDA berkata jumlah FDI yang diluluskan dari 2018 hingga September 2020 bernilai RM206.02 bilion.

MIDA berkata aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) kasar ke dalam negara bagi tempoh Januari hingga September 2020 bernilai RM108.2 bilion berbanding RM102.3 bilion dalam tempoh yang sama pada 2019, peningkatan 5.8 peratus.

“Ini merupakan pencapaian yang cukup besar memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Pemulihan masing-masing pada suku kedua dan ketiga tahun lepas.

“Aliran masuk FDI kasar juga mencerminkan kadar tinggi projek FDI yang diluluskan dan dilaksanakan dalam ekonomi termasuk sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama dalam tempoh beberapa tahun lepas,” katanya.

MIDA berkata jumlah FDI yang diluluskan dari 2018 hingga September 2020 bernilai RM206.02 bilion.

Sementara itu, MIDA berkata Malaysia kekal sebagai pengeluar utama semikonduktor dan sensor bagi kereta di tengah-tengah laporan bahawa pelabur berpotensi dalam industri automotif menimbang membuka kilang pemasangan mereka di negara-negara jiran.

“Malaysia memiliki satu daripada ekosistem paling komprehensif di rantau ini dalam industri elektrik dan elektronik, mesin dan peralatan, aeroangkasa, automotif dan peralatan perubatan,” katanya. -NST/Bernama

Google ads
Back to top button