Buletin

PERBINCANGAN SUDAH TAMAT. HYUNDAI TIDAK SUKA DILAYAN SEPERTI PEMBEKAL APPLE

Hyundai Motor Co pada Isnin menyatakan ia tidak lagi berbincang dengan Apple untuk menghasilkan kereta elektrik.

Kenyataan yang mengejutkan itu hadir hanya sebulan selepas pengeluar kenderaan Korea Selatan tersebut mengesahkan ia dalam peringkat awal rundingan bersama firma teknologi berkenaan.

Perkembangan itu menyebabkan nilai saham Hyundai jatuh sebanyak 6.2 peratus atau AS$3 bilion (RM12 bilion). Manakala nilai saham Kia Corp yang pada awalnya diberitakan sebagai rakan kerjasama Apple juga jatuh sebanyak 15 peratus atau AS$5.5 bilion (RM22.4 bilion).

Pengumuman itu juga seakan-akan menjadi penutup kepada potensi kerjasama di antara kedua-dua buah syarikat tersebut.

Sebelum ini, wujud kebimbangan dalam kalangan eksekutif kanan Hyundai bahawa ia akan menjadi pengilang kontrak kepada Apple, sama seperti peranan Foxconn dalam menghasilkan peranti seperti iPhone.  

“Kami tidak lagi berbincang dengan Apple untuk membangunkan kereta elektrik berautonomi,” kata Hyundai.

Hyundai sememangnya terkenal dengan sikap kurang gemar untuk bekerjasama dengan pihak luar. Selaku konglomerat kedua terbesar di Korea Selatan, Hyundai menghasilkan sendiri enjin, transmisi dan besi dalam satu rantaian bekalan bersepadu.

“Kami meneliti bagaimana untuk merealisasikannya. Adakah ia bagus atau tidak untuk diteruskan. Kami bukanlah syarikat yang mengeluarkan kenderaan untuk pihak lain,” kata seorang eksekutif kanan Hyundai yang enggan namanya didedahkan.

Apple dan Hyundai memulakan perbincangan untuk menjalin kerjasama pada 2018. Namun, kebocoran maklumat tentang kemungkinan kerjasama tersebut oleh media membuatkan mereka rasa tidak selesa.

Menurut penganalisis, Apple yang bertegas mahu Hyundai menjadi pengilang dan bukannya rakan strategik membuatkan rundingan itu semakin mustahil untuk direalisasikan.  

“Jelas Hyundai Motor Group tidak gembira berurusan dengan Apple. Hyundai dengan jelas menyatakan bahawa mereka tidak mahu dilayan seperti pembekal atau pengilang Apple,” kata penganalisis daripada eBEST Investment & Securities, Kevin Yoo. – Reuters

Google ads
Back to top button