Buletin

INDRIVE TAWAR KOMISEN 1% HINGGA 31 MEI, PEMANDU LEBIH UNTUNG

Platform mobiliti dan penghantaran global, inDrive, memperkenalkan inisiatif komisen serendah 1% khusus untuk pemandu e-hailing sedia ada serta mereka yang ingin menyertai platform itu di Kuala Lumpur.

Kempen tersebut bermula hari ini hingga 31 Mei 2026, sekali gus membolehkan pemandu mengekalkan sehingga 99% daripada jumlah tambang yang diterima sepanjang tempoh berkenaan.

Langkah berkenaan diperkenalkan ketika pekerja gig berdepan tekanan kos yang semakin meningkat. Kenaikan harga bahan api akibat ketidaktentuan global memberi kesan langsung kepada perbelanjaan harian pemandu serta menjejaskan pendapatan bersih mereka.

Bagi kebanyakan pemandu e-hailing, kos seperti bahan api, insurans dan penyelenggaraan kenderaan merupakan komitmen tetap yang sukar dielakkan.

Perbelanjaan ini secara langsung mempengaruhi keuntungan sebenar yang diterima. Dalam situasi tersebut, kadar komisen yang dikenakan platform menjadi faktor penting dalam memastikan pekerjaan gig terus relevan dan mampan.

Justeru, inisiatif komisen 1% ini diperkenalkan bagi menawarkan pulangan yang lebih baik di samping memberi pemandu kawalan lebih besar terhadap pendapatan mereka.

Menurut Pengurus Operasi Pemandu inDrive Malaysia, Azlan Anwar, struktur komisen yang telus dan munasabah memainkan peranan penting dalam kelestarian jangka panjang sektor gig, khususnya di Malaysia.

Beliau berkata, melalui inisiatif tersebut, lebih banyak nilai dikembalikan kepada pemandu, selari dengan komitmen syarikat terhadap model yang lebih adil dan telus.

Tambahnya, pemandu merupakan tunjang kepada ekosistem e-hailing dan wajar menerima bahagian pendapatan yang lebih seimbang berdasarkan sumbangan mereka.

Sebelum ini, inDrive dikenali dengan kadar komisen antara terendah dalam pasaran tempatan, sekali gus menjadikannya pilihan yang lebih mesra pemandu.

Platform itu turut menggunakan model penetapan harga secara peer-to-peer yang membolehkan pemandu dan penumpang berunding serta bersetuju terhadap tambang, berbanding bergantung sepenuhnya kepada sistem algoritma.

Pendekatan tersebut memberi fleksibiliti, ketelusan dan kawalan lebih tinggi kepada kedua-dua pihak.

Pemandu e-hailing sedia ada serta individu yang berminat di Kuala Lumpur boleh menyertai kempen ini dengan memuat turun aplikasi inDrive.

Google ads
Back to top button