Buletin

INDRIVE CATAT 1.2 JUTA PERJALANAN, RAI PEMANDU TERBAIK MENERUSI PLATINUM DRIVER LEAGUE 2026

Platform mobiliti dan perkhidmatan bandar global, inDrive, meraikan rakan pemandu terbaiknya menerusi penganjuran Platinum Driver League 2026 sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh ekosistem e-hailing yang lebih mampan dan adil di Malaysia.

Majlis anugerah yang berlangsung baru-baru ini menghimpunkan rakan pemandu dari seluruh negara bersama barisan pengurusan inDrive Malaysia bagi menghargai sumbangan mereka dalam memastikan perkhidmatan mobiliti terus berjalan lancar untuk pengguna setiap hari.

Pada masa sama, syarikat turut berkongsi perkembangan positif prestasi operasi inDrive Malaysia sepanjang tahun ini.

Sepanjang Mei 2026, platform itu merekodkan lebih 1.2 juta perjalanan berjaya diselesaikan, sekali gus menjadi jumlah perjalanan bulanan tertinggi pernah dicapai setakat ini.

Berbanding Januari 2026, jumlah perjalanan meningkat sebanyak 8.7 peratus, manakala jumlah rakan pemandu aktif bertambah 10.2 peratus. Bilangan penumpang pula meningkat 1.9 peratus dalam tempoh sama.

Secara bulanan, inDrive turut mencatat pertumbuhan memberangsangkan apabila jumlah rakan pemandu aktif meningkat 5.5 peratus pada Mei 2026 berbanding April lalu, manakala jumlah penumpang bertambah 1.1 peratus.

Dalam perkembangan lain, inDrive turut mengumumkan lesen operasi e-hailing syarikat itu berjaya diperbaharui, sekali gus membolehkan mereka terus beroperasi di Malaysia sehingga tahun 2028.

Sebagai usaha membantu kebajikan rakan pemandu, syarikat itu sebelum ini melaksanakan kempen komisen satu peratus di Lembah Klang dari April hingga Mei 2026.

Inisiatif berkenaan memberi peluang kepada pemandu mengekalkan lebih banyak pendapatan mereka ketika kos operasi semakin meningkat.

Pengurus Operasi Pemandu inDrive Malaysia, Azlan Anwar berkata, pertumbuhan syarikat di negara ini tidak mungkin dicapai tanpa sokongan dan komitmen rakan pemandu.

Menurut beliau, pemandu memainkan peranan besar dalam memastikan komuniti terus bergerak setiap hari, justeru mereka wajar diberikan sokongan yang lebih baik agar dapat menjana pendapatan secara mampan.

“Platinum Driver League menjadi salah satu platform untuk kami menghargai usaha dan dedikasi rakan pemandu. Sokongan yang lebih baik kepada pemandu juga membantu meningkatkan pengalaman penumpang selain menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi gig yang lebih mampan,” katanya.

Program Platinum Driver League 2026 berlangsung dari 27 April hingga 31 Mei lalu melibatkan peserta dari Lembah Klang, Johor Bahru dan Pulau Pinang.

Kempen itu menawarkan hadiah keseluruhan melebihi RM100,000 termasuk hadiah mingguan seperti telefon pintar, tablet, dashcam dan baucar bahan api.

Lebih menarik, hadiah utama yang ditawarkan tahun ini ialah sebuah Perodua Bezza 1.3 Advance 2026 serta sebuah motosikal Yamaha NVX.

Pemenang utama kempen berjaya melengkapkan sebanyak 1,347 perjalanan sepanjang tempoh pertandingan selama sebulan, sekali gus muncul antara rakan pemandu paling aktif dalam kalangan ribuan peserta di seluruh negara.

Menurut inDrive, kempen tersebut turut membantu meningkatkan purata jumlah perjalanan selesai sebanyak 8.7 peratus, membuktikan tahap komitmen tinggi dalam kalangan rakan pemandu sepanjang program berlangsung.

Google ads
Back to top button