
TPAD DESAK MOT PERJELAS TINDAKAN HENTI OPERASI INDRIVE DAN MAXIM
Persatuan Transformasi Pengangkutan Awam Darat (TPAD) menyuarakan kebimbangan berhubung arahan Kementerian Pengangkutan (MOT) yang meminta dua syarikat e-hailing antarabangsa, inDrive dan Maxim, menghentikan operasi mereka di Malaysia menjelang 24 Julai 2025.
Menurut TPAD, meskipun kerajaan berhak mengawal selia sektor pengangkutan bagi menjamin keselamatan dan kelancaran sistem, tindakan yang memberi impak besar kepada ekonomi rakyat perlu disertai dengan penjelasan telus serta berdasarkan data dan kajian menyeluruh.
Presidennya, Nathan Mathivanan berkata, banyak pemandu memilih untuk bekerja dengan platform seperti inDrive dan Maxim kerana tawaran fleksibiliti serta struktur komisen yang lebih mesra pemandu.
Beliau menekankan bahawa inDrive, misalnya, mengenakan kadar komisen yang jauh lebih rendah berbanding pesaing lain, sekali gus membantu pemandu memperoleh pendapatan bersih lebih tinggi.

“Bagi sebahagian besar pemandu, terutama yang beroperasi di kawasan luar bandar dan bandar kecil, platform ini adalah sumber pendapatan utama mereka,” jelas Nathan.
“Sekiranya persaingan dalam industri ini semakin terhad, apakah jaminan bahawa kebajikan pemandu akan terus terpelihara?”
Tambah TPAD, penumpang juga mungkin akan terkesan jika bilangan penyedia e-hailing berkurangan. Pengurangan pilihan boleh menjejaskan persaingan harga dan mutu perkhidmatan, berkemungkinan membawa kepada peningkatan tambang serta penurunan kualiti.
“Di negara lain, struktur tambang minimum atau kawal selia harga telah diperkenalkan bagi menjamin keadilan antara penyedia dan pengguna,” menurut kenyataan TPAD.
“Malaysia masih belum mempunyai sistem seperti itu. Maka, tanpa persaingan sihat atau garis panduan yang jelas, bagaimana pengguna dapat terus menikmati perkhidmatan ini dengan kos yang munasabah?”
Sehubungan itu, TPAD menggesa beberapa langkah segera diambil, antaranya MOT dan APAD memberikan penjelasan terperinci berkenaan asas perundangan serta justifikasi tindakan menghentikan operasi dua platform tersebut.
Selain itu, Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) menyiasat kemungkinan wujudnya ketidakseimbangan pasaran akibat keputusan ini dan perlunya kajian semula menyeluruh oleh Ahli Parlimen dan pakar dasar mengenai landskap e-hailing negara.
Bagi TPAD, isu ini bukan sekadar berkisar soal lesen atau pematuhan peraturan semata-mata, sebaliknya ia mencakupi keperluan asas rakyat terhadap perkhidmatan pengangkutan yang mampu milik, adil dan berdaya saing.
TPAD menyatakan kesediaannya untuk bekerjasama dengan semua pihak daripada agensi kerajaan hingga masyarakat sivil demi memastikan pembangunan sektor e-hailing negara terus inklusif dan lestari, tanpa mengabaikan kepentingan pemandu serta pengguna.