Buletin

KTM 390 ADVENTURE R BAKAL LANCAR DI MALAYSIA TIDAK LAMA LAGI

Selepas lebih setahun diperkenalkan di pasaran global, kami difahamkan bahawa KTM Malaysia akan memperkenalkan KTM 390 Adventure R untuk pasaran tempatan tidak lama lagi. 

Kehadiran 390 Adventure R pastinya satu berita baik buat peminat sukan lasak yang mengharapkan kemunculan motosikal KTM dengan keupayaan off-road namun dengan harga yang lebih mampu milik. 

Seperti yang kami laporkan sebelum ini, 390 Adventure R dipacu enjin sama yang ada pada 390 Duke generasi terbaru. 

Untuk itu, motosikal adventure terbaru dari Matthighofen ini menawarkan 44.3hp pada 8,500rpm dan 39Nm pada 7,000rpm yang terhasil dari enjin LC4c 399cc. 

Sama seperti Duke 390, versi ‘adventure’ ini juga mengguna pakai kotak udara yang telah direka semula bagi membolehkan enjin diletakkan lebih tinggi sekaligus menghasilkan jarak kelegaan tanah yang lebih baik. Ekzos jenis ‘underbelly’ yang ditawarkan juga 2kg lebih ringan. 

Dalam pada itu, kuasa enjin pula dikawal selia oleh transmisi 6-kelajuan dengan sokongan klac ‘power assist slipper (PASC). KTM juga menawarkan fungsi ‘quickshifter’ secara tawaran tambahan. 

Sementara itu, 390 Adventure R ini juga menerapkan casis ‘steel trellis’ yang sama terdapat pada 390 Duke namun telah diperkukuhkan agar lebih lasak. Bahagian ‘subframe’ juga telah direka semula bagi dipadankan dengan jarak gerak suspensi yang lebih panjang. 

Pakej suspensi pula merangkumi fork WP Apex 43mm boleh laras (compression dan rebound) dengan jarak gerak 230mm dan penyerap hentak tunggal WP Apex di belakang dengan jarak gerak yang sama. 

Perincian lain ditawarkan secara standard termasuk:

  • brek ByBre 2-piston depan dan satu piston belakang
  • cakera brek 320mm depan dan 240mm belakang
  • ABS (boleh padam)
  • tangki bahan api 14L
  • lampu LED
  • skrin TFT

Menariknya, selain model 390 Adventure R, kami difahamkan bahawa 390 Enduro akan turut sama diperkenalkan disini. 

Google ads
Back to top button