Buletin

PENGELUAR CHINA PATEN TANDAS DALAM KERETA PENUMPANG

Pengeluar automotif dari China memfailkan paten unik yang mungkin kedengaran pelik, tetapi berpotensi praktikal, tandas yang dibina terus di bawah tempat duduk kereta.

Idea ini mensasarkan situasi biasa seperti terperangkap dalam kesesakan trafik panjang tanpa tempat berhenti, terutama ketika perjalanan jauh.

Syarikat automotif China, Seres, pengeluar di sebalik jenama Aito, dilaporkan telah menerima kelulusan paten model utiliti bagi sistem yang dinamakan “tandas dalam kenderaan”.

Paten bernombor CN224104011U itu difailkan pada 22 April 2025 dan diluluskan pada 10 April 2026, dan kini berstatus aktif.

Berdasarkan dokumen paten, sistem tersebut menggunakan unit tandas kompak yang dipasang bersama mekanisme rel gelongsor.

Rel itu disambungkan kepada struktur tempat duduk, membolehkan tandas ditarik keluar apabila diperlukan dan disimpan semula di bawahnya selepas digunakan.

Konsepnya seakan laci tersembunyi di lantai kabin. Apabila tidak digunakan, ia disorok sepenuhnya bagi mengekalkan ruang dalaman seperti biasa.

Pendekatan ini cuba memanfaatkan ruang jarang digunakan, sesuatu yang penting khususnya dalam kenderaan elektrik yang mempunyai ruang bawah lantai terhad akibat pek bateri.

Walaupun tandas dalam kenderaan bukan perkara baharu, lazimnya pada RV atau motorhome, pelaksanaannya dalam kereta penumpang biasa, apatah lagi EV, jauh lebih mencabar.

Pek bateri besar di bahagian bawah biasanya mengehadkan ruang tambahan, menyebabkan jurutera perlu mencari penyelesaian yang tidak menjejaskan kapasiti tempat duduk atau ruang simpanan.

Namun begitu, beberapa persoalan praktikal masih timbul. Antaranya melibatkan sistem saliran, lokasi takungan sisa, ketahanan mekanisme gelongsor dalam jangka panjang serta kawalan bau dalam ruang kabin tertutup.

Semua ini memerlukan penyelesaian kejuruteraan yang teliti, lebih-lebih lagi dalam platform EV yang sudah sedia padat dari segi susun atur.

Google ads
Back to top button