
PROTON X70 SPORT EDITION 2026 DILANCARKAN – TERHAD 600 UNIT, HARGA MULA RM115K
PROTON rasmi melancarkan PROTON X70 Sport Edition (SE), edisi khas bagi SUV segmen-C yang menampilkan penampilan lebih berani bersama sentuhan dalaman eksklusif.
Model ini dibangunkan berasaskan varian Premium dan dihadkan kepada hanya 600 unit, sekali gus menjadikannya pilihan lebih tersendiri untuk pelanggan yang mahukan gaya sporty.
Edisi khas ini hadir dengan 10 peningkatan eksklusif yang memberi fokus kepada aspek visual serta kegunaan harian.
Dari segi luaran, PROTON X70 Sport Edition tampil dengan kit badan penuh merangkumi skirt hadapan, sisi dan belakang. Ia turut dipadankan rim aloi hitam bersaiz 19-inci serta lencana khas Sport Edition.

Ruang kabin pula menerima sentuhan kemasan lebih sporty menerusi jahitan merah pada stereng dan perehat tangan.
Tempat duduk turut dihiasi jahitan merah bersama sulaman logo Sport Edition, mewujudkan suasana lebih eksklusif dan berorientasikan pemandu. Selain itu, dulang but turut disertakan bagi meningkatkan praktikaliti penggunaan harian.
Dari sudut prestasi, PROTON X70 Sport Edition menggunakan enjin i-GT 1.5TD empat silinder yang digandingkan dengan transmisi dwi-klac tujuh kelajuan (7DCT).
Gabungan ini menawarkan keseimbangan antara kecekapan bahan api dan tindak balas pemanduan, dipertingkatkan lagi dengan talaan Ride & Handling PROTON yang menekankan kestabilan serta keselesaan dalam pelbagai keadaan jalan.

Model ini turut mengekalkan ciri teknologi pintar termasuk skrin infotainmen 12.3-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.
Sistem arahan suara “Hi PROTON” serta aplikasi PROTON Link 2.0 turut disediakan bagi meningkatkan tahap keterhubungan dan kemudahan pengguna.
Aspek keselamatan diperkukuh menerusi Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) Tahap 2 yang merangkumi 13 fungsi keselamatan. Antara ciri yang ditawarkan termasuk Intelligent Cruise Control (ICC), Lane Keep Assist (LKA) dan Autonomous Emergency Braking (AEB).
Menurut PROTON, keseluruhan penambahbaikan pada X70 Sport Edition menawarkan nilai tambahan kira-kira RM6,000.

Setiap pembelian turut disertakan pakej pelancaran eksklusif untuk 600 pelanggan pertama, merangkumi jaminan lima tahun tanpa had perbatuan bersama enam kali servis upah percuma, pakej data dalam kenderaan selama lima tahun, pilihan pembiayaan sehingga sembilan tahun, sokongan tukar beli sehingga RM2,000 serta perlindungan insurans tambahan termasuk perlindungan banjir.
Harga atas jalan tanpa insurans bagi PROTON X70 1.5TD Premium ialah RM112,800 untuk Semenanjung Malaysia dan RM114,800 bagi Malaysia Timur.
Pakej Sport Edition ditawarkan dengan tambahan RM2,500. Harga ini adalah selepas rebat untuk pendaftaran sebelum 30 April 2026.
Tempahan bagi PROTON X70 Sport Edition kini dibuka menerusi laman web rasmi PROTON serta di semua bilik pameran sah di seluruh negara.
GALERI:







