
INDRIVE PERLUAS OPERASI DI MALAYSIA, PERKUKUH SOKONGAN KEPADA PEMANDU
inDrive, platform e-hailing global, terus mengukuhkan kehadirannya di Malaysia dengan pertumbuhan pesat dalam perkhidmatan dan sokongan kepada pemandu.
Berikutan kejayaan globalnya yang telah mencatat lebih 5 bilion tawaran perjalanan, syarikat ini kini berusaha memperkukuh rangkaiannya di bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang, dan Johor Bahru.
Dalam tempoh setahun lalu, inDrive mencatat peningkatan ketara dalam pasaran Malaysia dengan lonjakan 53.7 peratus dalam jumlah penggunaan perkhidmatan, 56.1 peratus pertumbuhan pengguna aktif, dan 36.1 peratus peningkatan dalam jumlah pemandu.
Momentum ini mencerminkan penerimaan positif daripada penumpang serta pemandu yang menghargai pendekatan platform ini dalam menyediakan pengalaman e-hailing lebih fleksibel dan telus.

Di peringkat global, perkhidmatan e-hailing terus berkembang pesat, didorong oleh urbanisasi, perubahan gaya hidup pengguna, serta kemajuan teknologi mobiliti.
Asia Tenggara kekal sebagai salah satu rantau utama dalam pertumbuhan sektor ini, dengan industri ride-hailing dijangka menjana pendapatan USD 9.41 bilion (RM41.6 bilion) menjelang 2025.
Di Malaysia, pasaran ini diunjurkan mencapai nilai USD 0.51 bilion (RM2.2 bilion) dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 2.82 peratus sehingga 2029.
Bagi menyokong pertumbuhan ini, inDrive merancang untuk memperkukuh kedudukannya dengan membuka pusat sokongan pemandu mini di Pulau Pinang dan Johor Bahru.

Pusat ini akan menyediakan bantuan tempatan, latihan, serta pelbagai kemudahan bagi meningkatkan kebajikan pemandu.
Selain itu, inDrive turut memberi penekanan terhadap peningkatan peluang pendapatan serta memperkukuh hubungan dengan persatuan pemandu dan teksi.
Syarikat ini juga menyasarkan untuk mendaftarkan lebih 40,000 pemandu di Malaysia menjelang akhir 2025.
Dalam usaha menangani kebajikan pekerja gig, inDrive sedang memperluaskan perlindungan insurans serta memperkukuh kerjasama dengan persatuan pemandu bagi memastikan pampasan yang adil serta manfaat lebih baik kepada mereka.
Di samping itu, sejajar dengan usaha kerajaan dalam menggalakkan mobiliti hijau, inDrive juga meneroka kerjasama dengan pengeluar kenderaan elektrik (EV) bagi menyokong penggunaan armada hibrid dan inisiatif pengurangan karbon.
Langkah ini selaras dengan matlamat global untuk mengurangkan pelepasan karbon dan membangunkan sistem pengangkutan yang lebih lestari.