Buletin

HONDA ODYSSEY SPORT 3.5L V6, UNTUK PENGGUNA AMERIKA SYARIKAT!

Honda baru-baru ini memperkenalkan HR-V baharu di Amerika Syarikat dengan reka bentuk yang jauh berbeza daripada HR-V pasaran antarabangsa lain.

Dua model sama tetapi berbeza reka bentuk adalah perkara biasa untuk Honda dan dibuat sejak dulu lagi.

Sebelum HR-V, Honda menawarkan beberapa model yang berbeza di antaranya Odyssey.

Di Jepun, Indonesia, Malaysia dan beberapa negara lain, Odyssey yang ditawarkan tidak sama dengan model Amerika Syarikat.

Honda Odyssey Malaysia

Terbaru Honda memperkenalkan Odyssey Sport 2023 di Amerika Syarikat dengan konsep van keluarga dalam imej sporti.

Tiada kit badan garang seperti Odyysey Mugen atau eksekutif ala Modulo, cukup dengan permainan warna.

Dari segi susunan, Odyssey Sport berada di tengah daripada lima varian di Amerika Syarikat yang bermula dari EX, EX-L dan di bawah Touring dan Elite.

Untuk Odyssey Sport Apa yang Honda Amerika Syarikat buat ialah gelapkan lampu belakang.

Tema gelap diteruskan pada gril, riasan lampu depan, belakang dan lampu kabus, cermin sisi, tiang B dan C yang kesemuanya berwarna hitam kilat termasuk roda Berlina 19 inci.

Keseluruhan warna hitam dipadan bersama warna badan Sonic Gray Pearl, menampakkan sisi jahat Odyssey Sport.

Jika tidak mahu warna kelabu, Honda turut menawarkan warna Platinum White Pearl, Crystal Black Pearl dan Radiant Red Metallic.

Pada bahagian dalaman, kerusi balutan kulit warna hitam dikontra dengan sulaman merah dan diulang pada stereng.

Balutan tiang dan siling bumbung juga warna hitam dan nampak jahat dan garang apabila Honda menggunakan nyalaan merah pada papan pemuka, ruang kaki, pembuka dan poket pintu.

Ciri lain pada Odyssey Sport ialah moonroof dengan fungsi angkat, pintu kargo dengan pelarasan ketinggian dan kerusi penumpang depan dengan lapan pelarasan berkuasa.

Menggerakkan kesemua varian Odyssey 2023 ialah enjin 3.5 liter V6 berkuasa 280 hp dengan padanan transmisi automatik sepuluh kelajuan.

Tidak seperti Odyssey pasaran tempatan yang dipasang di Jepun, Odyssey versi Amerika dan enjin dikeluarkan di Alabama manakala transmisi di Tallaposa, Georgia.

Harga Honda Odyssey Sport yang disyorkan ialah $41,210 (RM181,241).

Google ads
Back to top button