PUSH START BUTTON: APA AKAN JADI KALAU KITA TERTEKAN BUTANG INI KETIKA MEMANDU?
Kebanyakan kereta moden pada hari ini dilengkapi dengan satu ciri kunci yang dinamakan sebagai keyless entry system dan push start button. Ciri moden ini membolehkan kita membuka pintu kereta tanpa menekan apa-apa butang pada alat kawalan jauh dengan syarat kunci kereta berada dalam poket.
Pegang sahaja tombol pintu kereta, kunci akan dibuka dan anda boleh terus masuk dan menghidupkan enjin dengan hanya menekan butang penghidup mula (push start button) yang berada di sebelah kiri atau kanan stering. Ada juga butang push start button ini diletakkan di tepi tombol gear
Ini menimbulkan polemik kepada pengguna yang risau butang ini ditekan secara tidak sengaja oleh penumpang lain atau anak mereka ketika memandu. Risau kerana apabila ditekan, enjin akan mati pada halaju 90km/jam sehingga ia boleh menjadi risiko kemalangan.
Tapi aspek ini sebenarnya sudah dikaji oleh jurutera ketika ciri butang penghidup mula diperkenalkan pada kereta biasa. Enjin kereta sebenarnya tidak akan terus pada walaupun anda tertekan butang ini ketika memandu secara tidak sengaja.
Pengalaman penulis sendiri dengan butang ini termasuklah menguji aspek keselamatan di jalan yang kosong pada halaju rendah. Enjin memang tidak akan mati jika anda tertekan butang ini ketika kereta bergerak pada halaju tertentu.
Ciri fail safe ini sebenarnya sengaja direka oleh jurutera bagi mengelakkan kereta anda terus menghentikan operasi enjin ketika memandu disebabkan perbuatan yang tidak sengaja menekan butang penghidup mula. Jika enjin mati, stering dan brek akan kehilangan kuasa yang menyebabkan pemandu sukar mengawal kenderaan
Enjin kereta hanya akan mati jika butang ini ditekan secara terus-menerus selama beberapa saat atau ditekan beberapa kali dalam sela masa yang singkat. Keadaan ini direka bagi membolehkan enjin kereta dipaksa untuk dimatikan dalam situasi kecemasan ketika memandu, sebagai contoh pedal minyak tersangkut dan boleh menjadi risiko kemalangan
Dalam video yang dihasilkan pada tahun 2016 ini, pemilik Ford dalam video ini menunjukkan apa yang berlaku apabila anda tertekan butang penghidup mula secara tidak sengaja ketika memandu. Ada 3 situasi yang berlaku, pertama enjin kereta terus akan mati pada halaju yang perlahan.
Apabila melebihi halaju tertentu, enjin kereta tidak akan mati walaupun butang penghidup mula ditekan. Ketiga, enjin hanya akan mati bila pemandu menekan butang ini selama 3 saat secara berterusan.
Video pemilik kereta Ford ini juga disahkan oleh satu lagi video berasingan yang dihasilkan oleh pemilik BMW juga mendapat keputusan yang hampir sama.