Buletin

INSENTIF CUKAI EV TAMAT, TESLA KEKAL HARGA MODEL 3 DAN MODEL Y – BERMULA RM169K

Tesla Malaysia menegaskan komitmennya terhadap pasaran tempatan dengan mengekalkan harga semua model kenderaan elektriknya, meskipun tempoh pengecualian cukai jualan dan duti import bagi EV telah berakhir.

Model paling laris Tesla di Malaysia, Model 3, terus ditawarkan pada harga bermula RM169,000, manakala Model Y yang juga merupakan kenderaan paling laris di dunia mengekalkan harga permulaan RM195,450.

Harga ini kekal sama seperti yang diperkenalkan pada 2025, sekali gus memberi kelegaan kepada pengguna yang bimbang akan kenaikan kos selepas insentif kerajaan tamat.

Menurut Tesla, pengekalan harga ini disokong oleh pelaburan berterusan syarikat dalam memperkukuh ekosistem EV di Malaysia, khususnya dari segi infrastruktur pengecasan dan akses pelanggan di seluruh negara.

Ketika ini, Tesla mengendalikan 18 stesen Supercharger dan 17 lokasi Destination Charging, melibatkan keseluruhan 76 unit Supercharger dan 79 pengecas destinasi yang menyokong perjalanan jarak jauh serta kegunaan harian, di samping pilihan pengecasan di rumah yang semakin berkembang.

Tesla turut memaklumkan bahawa lebih banyak stesen pengecasan akan dibangunkan dalam masa terdekat bagi memastikan pengalaman pemilikan yang lebih lancar dan menyeluruh kepada pelanggan di Malaysia.

Dalam perkembangan berkaitan, pengguna di Malaysia Timur kini boleh merasai sendiri pengalaman Tesla di Pusat Pengalaman Tesla yang baharu dibuka di Lot G-064, Vivacity Megamall, Kuching, Sarawak.

Pelbagai insentif khas Januari turut ditawarkan kepada pelanggan di Kuching sementara stok masih ada.

Antara ganjaran yang ditawarkan termasuk hadiah alas kepala rasmi Tesla bagi pelanggan yang membuat tempahan sebelum 15 Januari.

Pemilik Tesla yang berjaya merujuk dua pelanggan sehingga pembelian dan penghantaran dibuat pada bulan Januari pula akan menerima pelapik muka Wall Connector edisi terhad sepadan warna, selain ganjaran Tesla Credits bernilai RM1,000 menerusi program Refer & Earn, dengan RM500 kredit bagi setiap rujukan berjaya.

Pelanggan di seluruh negara masih boleh menempah dan menyesuaikan kenderaan Tesla pada harga permulaan yang sama, dengan penghantaran dijangka bermula Februari, selain peluang menikmati potongan sehingga RM2,000 tertakluk kepada kelayakan, serta manfaat tambahan menerusi program rujukan.

Google ads
Back to top button