
TESLA BUKA SUPERCHARGER BAHARU DI IPOH, LENGKAPKAN RANGKAIAN TESLA SERANTAU
Tesla Malaysia mengumumkan pembukaan stesen pengecas pantas V4 Supercharging terbaharunya di AEON Mall Kinta City, sekali gus melengkapkan rangkaian pengecasan yang menghubungkan perjalanan rentas sempadan antara Singapura, Malaysia dan Thailand.
Stesen baharu yang terletak di tengah bandar raya Ipoh itu merupakan kemudahan Supercharging pertama Tesla di Malaysia yang menggunakan sambungan internet Starlink.
Pembukaannya dianggap sebagai komponen terakhir yang diperlukan bagi membolehkan pemilik kenderaan Tesla melakukan perjalanan jarak jauh merentasi tiga negara dengan lebih lancar.
Menurut Tesla, lokasi di Ipoh dipilih hasil undian tertinggi daripada komuniti pemilik Tesla. Menerusi model perniagaan langsung yang diamalkan syarikat itu, Tesla berkata ia sentiasa memberi perhatian kepada keperluan pelanggan dengan menyediakan pengalaman pemilikan menyeluruh, termasuk jualan, perkhidmatan selepas jualan dan kemudahan pengecasan.

Selain melengkapkan laluan pengecasan rentas sempadan, Tesla turut menawarkan sokongan jaminan, akses perkhidmatan dan sambungan digital merentas negara bagi memberikan keyakinan lebih tinggi kepada pengguna yang kerap melakukan perjalanan ke luar negara.
Pengecas V4 Supercharger Tesla mampu menyalurkan kuasa sehingga 250kW, membolehkan Model 3 dan Model Y menambah jarak perjalanan sehingga kira-kira 311 kilometer dalam tempoh hanya 15 minit.
Bagi meraikan pembukaan stesen baharu ini, Tesla menawarkan pengecasan percuma di AEON Mall Kinta City dari 21 hingga 23 Ogos 2026.
Sehingga kini, Tesla mengendalikan 21 lokasi Supercharging yang menempatkan 92 unit pengecas serta 18 lokasi Destination Charging dengan jumlah 78 pengecas di seluruh Malaysia.

Setiap kenderaan Tesla turut dilengkapi pembantu kecerdasan buatan (AI) Grok sebagai ciri standard. Sistem ini membolehkan pengguna mengawal pelbagai fungsi kenderaan termasuk navigasi, kawalan suhu kabin, hiburan, peringatan serta carian lokasi hanya melalui arahan suara.
Di Malaysia, Tesla kini menawarkan dua model utama iaitu Model 3 dan Model Y. Sempena promosi masa terhad, pelanggan baharu turut menerima kredit pengecasan Supercharging sejauh 3,000 kilometer.
Harga Tesla di Malaysia:
- Model 3 bermula dari RM149,000
- Model Y bermula dari RM198,000
Bagi pembeli Model Y Premium RWD, Tesla turut menawarkan pilihan sama ada rebat tukar beli bernilai RM13,000 atau program pembiayaan kadar faedah tetap serendah 0.88 peratus.
Dalam perkembangan sama, Model Y kini secara rasmi disertakan dalam program rujukan pelanggan Tesla.
Pemilik sedia ada boleh berkongsi pautan rujukan peribadi mereka untuk memperoleh ganjaran seperti kredit pengecasan Supercharging dan naik taraf perisian apabila pembelian yang layak berjaya dilakukan.
Sebagai insentif tambahan, 10 pelanggan pertama yang membeli Model 3 atau Model Y menggunakan pautan rujukan akan menerima diskaun RM1,000, manakala pemilik Tesla yang berjaya membuat rujukan akan memperoleh kredit Tesla bernilai RM500 bagi setiap transaksi yang berjaya.







