
VW ID. POLO JADI MODEL PERTAMA “TAUBAT BUTANG SENTUH”, KEMBALI DENGAN BUTANG FIZIKAL
Volkswagen akhirnya mendedahkan bahagian dalaman ID. Polo, model elektrik segmen kecil yang bakal membuat kemunculan rasmi dalam masa terdekat.
Namun perkara paling mencuri tumpuan bukanlah skrin besar atau perisian baharu, sebaliknya, kepulangan sesuatu yang ramai sangka sudah “pupus”: butang fizikal sebenar.
Sebagai model pertama yang direka sepenuhnya di bawah kepimpinan Ketua Pereka baharu VW, Andreas Mindt, ID. Polo menandakan perubahan hala tuju yang jelas bagi jenama Jerman itu.
Pendekatan baharu ini cuba mengimbangi teknologi moden dengan kawalan fizikal yang lebih intuitif dan mesra pengguna, selepas kritikan hebat terhadap penggunaan panel sentuh dan butang haptik pada model seperti ID.3 sebelum ini.

Dalam ID. Polo, slider sentuh yang sering dipersoalkan telah disingkirkan. Sebagai ganti, VW kembali kepada tombol bertekstur untuk kawalan audio serta susun atur suis tingkap empat unit yang lebih konvensional.
Stereng berbentuk lebih bersegi turut menampilkan butang untuk kawalan cruise dan infotainmen, menekankan fungsi berbanding gaya semata-mata.
Paparan pemandu digital bersaiz 10.25-inci kini dipasang terus pada papan pemuka, bukannya pada tiang stereng seperti ID.3.

Susun atur ini bukan sahaja lebih kemas, malah lebih mudah dibaca. Menariknya, perisian baharu turut menawarkan paparan grafik retro, satu sentuhan nostalgia yang mengimbau meter analog dan elemen visual era Golf 1980-an, termasuk gaya seakan kaset pita.
Di bahagian tengah, skrin infotainmen 13-inci menjadi pusat kawalan utama, tetapi kini disokong barisan butang fizikal khusus untuk sistem pendingin hawa dan lampu kecemasan.
Sebuah tombol putar mengawal kelantangan audio serta boleh digunakan untuk menukar trek atau stesen radio.

Dari segi kemasan, kabin terasa lebih “hangat” dengan penggunaan fabrik kitar semula yang lembut, menggantikan dominasi plastik keras pada papan pemuka, panel pintu dan konsol tengah. Simbol ‘play’ dan ‘pause’ pada pedal – satu identiti unik VW – masih dikekalkan.
Dari segi dimensi, ID. Polo berukuran 4,053mm panjang, 1,816mm lebar dan 1,530mm tinggi, dengan jarak roda 2,600mm – hampir setara dengan Polo enjin pembakaran dalaman.
Ia akan ditawarkan dengan dua pilihan bateri dan tiga tahap output motor hadapan, bermula sekitar 114hp hingga 208hp, manakala versi GTI lebih bertenaga dijadualkan menyusul setahun kemudian.

Pilihan bateri merangkumi pek LFP 37kWh dan unit NMC 52kWh dengan teknologi cell-to-pack, yang mampu memberikan jarak pemanduan sehingga sekitar 450km.
Kelajuan pengecasan pula berada dalam julat 90 hingga 130kW, dengan platform MEB+ terkini menjadi asas bagi semua varian.
Di Eropah, harga asas diumumkan sekitar €25,000 (kira-kira RM138,000). Namun begitu, hanya varian spesifikasi tinggi akan ditawarkan pada peringkat awal, dengan harga permulaan dijangka lebih hampir kepada €30,000 (sekitar RM166,000) bergantung kepada konfigurasi.




