Buletin

ZEEKR 8X BAKAL MUNCUL 2026, SUV PHEV FLAGSHIP DENGAN TEKNOLOGI 900V – ANGGARAN HARGA RM288K

Zeekr secara rasmi mengesahkan kehadiran sebuah lagi SUV baharu yang akan mengisi kedudukan teratas dalam barisan modelnya, dikenali sebagai Zeekr 8X.

Model ini akan diposisikan sebagai SUV PHEV flagship berprestasi tinggi dan dijangka dilancarkan pada separuh pertama 2026.

Menurut laporan industri, harga permulaan Zeekr 8X dianggarkan sekitar AS$61,500 (sekitar RM288,000).

Sebagai perbandingan, Zeekr 9X yang kini berada di atasnya ditawarkan pada harga antara AS$66,600 hingga AS$85,800 (sekitar RM312,000 – RM402,000).

Dari sudut teknikal, Zeekr 8X dibangunkan menggunakan platform SEA-S (Sustainable Experience Architecture) dan dijangka menampilkan seni bina elektrik 900V, bersama Haohan AI Digital Chassis.

SUV ini turut dijangka berkongsi rangkaian kuasa hibrid plug-in yang sama seperti Zeekr 9X, termasuk tiga motor elektrik serta bateri yang menyokong pengecasan pantas 6C.

Antara kelebihan utama Haohan AI Digital Chassis ialah keupayaannya mengekalkan kestabilan kenderaan dalam situasi ekstrem.

Menurut Zeekr, sistem ini mampu memastikan kenderaan membrek dengan selamat walaupun berlaku letupan tayar serentak pada kedua-dua roda di sisi yang sama, ketika dipandu di jalan basah pada kelajuan sehingga 120 km/j.

Untuk kegunaan luar jalan pula, sistem ini boleh mengenal pasti tujuh jenis permukaan seperti salji tebal, lumpur, pasir dan batu, sebelum melaraskan mod pemanduan secara automatik.

Imej prototaip berbalut pelekat samaran menunjukkan Zeekr 8X mengekalkan identiti reka bentuk Zeekr 9X, dengan siluet badan yang tegap.

Dari pandangan sisi, ia menggunakan pemegang pintu konvensional, dipadankan dengan rim hitam berkilat serta angkup brek merah. Namun begitu, saiz keseluruhan Zeekr 8X dijangka sedikit lebih kompak.

Sebagai rujukan, Zeekr 9X memiliki panjang melebihi 5.2 meter dengan jarak roda hampir 3.17 meter. Zeekr 8X pula dijangka berukuran sekitar 5.1 meter panjang dengan jarak roda kira-kira 3.1 meter, dan berkemungkinan ditawarkan dalam konfigurasi 5, 6 atau 7 tempat duduk.

Turut kelihatan ialah unit LiDAR di atas bumbung, menandakan fokus kepada sistem bantuan pemanduan termaju.

Seperti Zeekr 9X, Zeekr 8X dijangka ditawarkan dengan pilihan G-Pilot H7 atau H9 Tahap 3, bergantung kepada varian.

G-Pilot H7 menggunakan cip Nvidia Drive Thor-U dengan kuasa pemprosesan 700 TOPS, manakala H9 pula dilengkapi dua cip Nvidia Drive Thor-U untuk keupayaan pengkomputeran yang lebih tinggi.

Dengan gabungan teknologi casis pintar, rangkaian kuasa hibrid berprestasi tinggi dan sistem pemanduan autonomi terkini, Zeekr 8X dilihat sebagai calon kuat untuk mencabar segmen SUV premium global apabila dilancarkan kelak.

Google ads
Back to top button