Buletin

TESLA EXPERIENCE CENTRE KINI DIBUKA DI THE SPRING, KUCHING

Tesla Malaysia terus mengukuhkan kehadirannya di Malaysia Timur menerusi pembukaan Experience Centre baharu di The Spring Shopping Mall, Kuching.

Terletak di Lot G43 pusat beli-belah berkenaan, fasiliti itu menampilkan dua model utama jenama tersebut iaitu Tesla Model 3 yang juga sedan elektrik paling laris di Malaysia serta Model Y L, SUV enam tempat duduk terbaharu syarikat itu.

Pengunjung berpeluang melihat sendiri teknologi kenderaan elektrik (EV) dan kecerdasan buatan (AI) terkini yang dibangunkan Tesla, termasuk sistem bantuan pintar Grok yang dibina oleh xAI.

Tesla memaklumkan, Grok akan diperkenalkan kepada pemilik Tesla di Malaysia menerusi kemas kini Over-The-Air (OTA). Sistem itu boleh diaktifkan melalui arahan suara “Hey Grok” atau dengan menekan butang suara pada stereng.

Antara fungsi yang ditawarkan termasuk membantu merancang perjalanan dengan beberapa destinasi, mencari lokasi pengecas Supercharging dan Destination Charging, restoran, pusat beli-belah serta kemudahan awam sepanjang perjalanan.

Selain itu, Grok turut mampu memberikan penerangan berkaitan amaran kenderaan yang dipaparkan pada skrin serta menawarkan cadangan penyelesaian kepada pengguna.

Ciri interaksi suara pintar itu juga boleh disesuaikan mengikut keperluan individu termasuk untuk pembelajaran bahasa dan hiburan keluarga ketika memandu.

Dalam aspek keselamatan, Tesla memaklumkan Model 3, Model Y dan Model Y L menerima penarafan keselamatan tertinggi daripada pelbagai badan penilaian antarabangsa seperti NHTSA dan IIHS di Amerika Syarikat, Euro NCAP di Eropah, ANCAP di Australia dan New Zealand serta C-IASI di China.

Menurut Tesla, lebih 80 peratus pemilik Tesla di Malaysia Timur kini menggunakan pengecas rumah bagi kemudahan pengecasan harian setakat awal 2026.

Syarikat itu turut merancang untuk memperluaskan lagi rangkaian stesen pengecas di Sarawak dalam masa terdekat.

Pemilik Tesla di Malaysia Timur juga boleh menikmati perkhidmatan servis bergerak selain membuat temu janji penyelenggaraan di Tesla Approved Bodyshop (TAB).

Google ads
Back to top button