Motosikal

VERGE TS PRO DIUMUMKAN – DENGAN BATERI SOLID STATE, JARAK GERAK 600KM

Pengeluar motosikal elektrik, Verge Motorcycles mencuri tumpuan ketika di Consumer Eletronics Show (CES) 2026 yang berlangsung di Las Vegas, Amerika Syarikat. 

Ini kerana buat julung kalinya, motosikal elektrik dengan bateri solid state (SSB) diperkenalkan kepada dunia. 

Verge mendakwa dengan hanya 10 minit tempah pengecasan, TS Pro mampu bergerak sejauh 300km manakala pengecasan penuh mampu membawa motosikal berkenaan sejauh 600km. 

Namun begitu, untuk melakukannya, jentera tersebut perlu dicas menggunakan stesen pengecasan dengan kuasa 200 kW dengan penyambung jenis CCS. 

Menurut Verge, bateri solid state tersebut dibangunkan bersama pihak Donut Lab dan selain berkapasiti 33.3kWh, tiada info lain didedahkan buat masa ini. Namun, Verge memaklumkan bahwa bateri tersebut tidak mudah terbakar dan lebih selamat selain lebih stabil dan mampu beroperasi dalam semua keadaan suhu. 

Menariknya, Verge turut menjelaskan bahawa bateri berkenaan mengguna pakai bahan yang mudah diperolehi sekaligus bahagian pengeluaran tidak akan berdepan isu di peringkat produksi.

Sementara itu, Verge TS Pro ini digerakan motor elektrik yang terletak di tayar belakang jenis hubless. Unit ini telah pun dinaik taraf dan diberi nama Donut 2.0 dan didakwa 50 peratus lebih ringan dari sebelum ini. 

Dalam pada itu, kuasa puncak masih lagi kekal dengan 102 kW (139hp) dan 1000Nm. Jentera ini mampu mencapai 0-100km/j dalam tempoh 3.5 saat sahaja sementara kelajuan maksima dihadkan kepada 200km/j. 

Perincian lain tersenarai termasuk ABS, fork USD boleh laras, skrin TFT dengan fungsi ‘touchsecreen’ serta suspensi Öhlins (opsyen tambahan). 

Menurut Verge, TS Pro ini boleh didapati dengan harga bermula EUR37,000 (RM175k). 

Google ads
Back to top button