
TESLA BUKA STESEN SUPERCHARGING V4 DI QUEENSBAY MALL, PULAU PINANG
Tesla terus memperkukuhkan rangkaian pengecasan kenderaan elektrik (EV) di Malaysia menerusi pembukaan stesen Supercharging V4 terbaharu di Queensbay Mall, Pulau Pinang.
Kemudahan baharu itu dilengkapi empat unit pengecas pantas V4 yang direka untuk memudahkan pemilik Tesla di wilayah utara serta pengguna yang melakukan perjalanan jarak jauh merentasi negara.
Lokasi strategik di pusat beli-belah berkenaan membolehkan pengguna mengecas kenderaan sambil menjalankan urusan harian atau berehat sebelum meneruskan perjalanan.
Supercharger V4 menawarkan kadar pengecasan sehingga 250kW, membolehkan Tesla Model 3 dan Model Y memperoleh tambahan jarak pemanduan kira-kira 311 kilometer dalam tempoh sekitar 15 minit.
Sistem ini turut menyokong fungsi Plug & Charge yang dihubungkan terus melalui aplikasi Tesla bagi memberikan pengalaman pengecasan yang lebih mudah.

Selain itu, setiap Tesla kini dilengkapi Grok, pembantu kecerdasan buatan (AI) yang mampu membantu pengguna menetapkan laluan perjalanan, mengawal sistem penyaman udara, memainkan muzik, menetapkan peringatan serta mengakses pelbagai fungsi kenderaan melalui arahan suara.
Tesla berkata, sistem pengecasan berasaskan bayaran mengikut penggunaan terus menjadi antara pilihan pengecasan pantas yang kompetitif dan menjimatkan bagi pemilik EV.
Sehingga kini, Tesla mengendalikan 20 lokasi Supercharging yang menempatkan 88 unit Supercharger di seluruh negara.
Selain itu, syarikat berkenaan turut mempunyai 18 lokasi Destination Charging dengan 76 pengecas yang ditempatkan di pelbagai destinasi strategik.
Rangkaian yang semakin berkembang itu turut menyokong perjalanan rentas sempadan dari Singapura melalui Malaysia hingga ke Thailand, sekali gus memberi akses kepada pengecasan berkelajuan tinggi di laluan utama untuk tujuan pelancongan, perniagaan dan perjalanan jarak jauh.
Tesla juga menawarkan sokongan jaminan, servis serta sambungan rangkaian merentas negara bagi memberikan keyakinan tambahan kepada pemilik yang kerap melakukan perjalanan antara negara.
Di Malaysia, Tesla kini memasarkan Model 3 dengan harga bermula RM149,000, manakala Model Y ditawarkan pada harga permulaan RM198,000.
Bersempena promosi khas Merdeka yang berlangsung untuk tempoh terhad, pelanggan boleh memilih sama ada menerima Wall Connector percuma atau kredit pengecasan Supercharging bernilai sehingga 3,000 kilometer.
Bagi pembelian Model Y Premium RWD, pelanggan turut berpeluang menikmati rebat tukar beli bernilai RM13,000 atau program pembiayaan kadar faedah tetap serendah 0.88 peratus.
Dalam perkembangan sama, Tesla mengumumkan bahawa Model Y kini dimasukkan ke dalam program Refer and Earn.
Melalui program tersebut, pemilik Tesla boleh berkongsi pautan rujukan peribadi kepada rakan atau ahli keluarga dan menerima ganjaran dalam bentuk kredit Supercharging, naik taraf perisian serta pelbagai manfaat lain apabila pembelian berjaya dilakukan.
Sebagai galakan tambahan, 10 pelanggan pertama yang membuat tempahan Tesla baharu menggunakan pautan rujukan akan menerima diskaun RM1,000 bagi pembelian Model 3 atau Model Y.
Pemilik Tesla pula akan memperoleh kredit Tesla bernilai RM500 bagi setiap rujukan yang berjaya.







