Buletin

TESLA MALAYSIA RASMI EXPERIENCE CENTRE BAHARU DI MID VALLEY MEGAMALL

Tesla Malaysia terus memperkukuh kehadirannya di negara ini menerusi pembukaan Tesla Experience Centre baharu di Mid Valley Megamall, sekali gus memperluaskan rangkaian jualan, perkhidmatan selepas jualan dan sokongan pengecasan kepada pelanggan.

Pusat pengalaman itu yang merupakan lokasi ketujuh Tesla di Malaysia terletak di aras bawah Mid Valley Megamall, berhampiran laluan penghubung ke The Gardens Mall.

Pembukaan pusat baharu itu memberi kemudahan kepada orang ramai untuk melihat, meneroka, mengkonfigurasi serta mendapatkan maklumat lanjut mengenai rangkaian kenderaan elektrik (EV) Tesla di satu lokasi.

Tesla mempamerkan tiga model utamanya di pusat berkenaan iaitu Model 3, Model Y dan Model Y L yang dilengkapi konfigurasi enam tempat duduk untuk kegunaan keluarga.

Ketiga-tiga model itu turut menerima penarafan keselamatan tertinggi daripada pelbagai badan penilaian antarabangsa termasuk NHTSA dan IIHS di Amerika Syarikat, Euro NCAP di Eropah, ANCAP di Australia dan New Zealand serta C-IASI di China.

Menurut Tesla, penerimaan positif pengguna turut dapat dilihat melalui prestasi jualan semasa apabila Model 3 muncul sebagai sedan elektrik paling laris dan EV jenama import paling laris di Malaysia pada Ogos 2026. Dalam tempoh sama, Model Y pula menjadi SUV elektrik jenama import paling laris di pasaran tempatan.

Selain menawarkan teknologi mobiliti elektrik, Tesla terus menambah baik pengalaman pemilikan menerusi kemas kini perisian Over-the-Air (OTA) yang membolehkan pelbagai ciri baharu diperkenalkan tanpa perlu ke pusat servis.

Setiap model Tesla kini turut dilengkapi pembantu kecerdasan buatan (AI) Grok yang boleh membantu pengguna melakukan pelbagai fungsi seperti navigasi, kawalan suhu kabin, memainkan muzik, menetapkan peringatan dan mencari lokasi menarik.

Pengarah Kanan Tesla, Isabel Fan, berkata syarikat itu komited untuk memperluaskan akses kepada teknologi EV dan menyediakan pengalaman pemilikan yang lebih lancar menerusi model perniagaan terus kepada pelanggan.

“Tesla akan terus melabur di Malaysia bagi memastikan pelanggan menikmati pengalaman pemilikan yang menyeluruh melalui rangkaian jualan, sokongan pelanggan dan infrastruktur pengecasan yang semakin berkembang,” katanya.

Seiring pembukaan pusat pengalaman baharu itu, Tesla turut menyediakan empat unit pengecas pantas V4 Supercharger di The Gardens Mall.

Pengecas berkapasiti sehingga 250kW itu membolehkan Model 3 dan Model Y memperoleh tambahan jarak perjalanan sehingga kira-kira 311 kilometer dalam tempoh sekitar 15 minit.

Ketika ini, Tesla mengendalikan 21 stesen Supercharger yang merangkumi 92 pengecas serta 18 lokasi Destination Charging dengan 78 pengecas di seluruh Malaysia.

Syarikat itu turut merancang membuka enam lagi lokasi pengecasan menjelang penghujung 2026 melibatkan Kuala Lumpur, Selangor, Perak, Seremban dan Pulau Pinang.

Rangkaian pengecasan yang semakin meluas itu membolehkan perjalanan rentas sempadan dari Singapura ke Malaysia dan Thailand dilakukan dengan lebih mudah, selain disokong kemudahan jaminan, servis dan sambungan data yang boleh digunakan di negara serantau.

Bagi menggalakkan pemilikan EV, Tesla Malaysia kini menawarkan beberapa insentif pembelian untuk Model 3 dan Model Y.

Pelanggan boleh memilih sama ada pemasangan Wall Connector secara percuma atau kredit pengecasan Supercharger sejauh 3,000 kilometer. Model 3 ditawarkan pada harga bermula RM149,000 manakala Model Y bermula RM198,000.

Pelanggan turut berpeluang menikmati rebat tukar beli sehingga RM13,000 atau skim pembiayaan kadar faedah tetap serendah 0.88 peratus, tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan.

Selain itu, ketiga-tiga model Tesla yang ditawarkan di Malaysia turut layak menyertai program Refer and Earn yang membolehkan pemilik memperoleh ganjaran dalam bentuk kredit pengecasan, naik taraf perisian dan pelbagai manfaat lain apabila berjaya memperkenalkan pelanggan baharu kepada jenama tersebut.

Google ads
Back to top button