Artikel Pilihan

CIVIC TYPE R ULTIMATE EDITION – SELAMAT TINGGAL FL5.

Sejak tiga dekad lalu, nama Honda Civic Type R sentiasa sinonim dengan keseronokan memandu tulen. Dari zaman EK9 hingga FK8, dan kini FL5, setiap generasi tampil dengan formula yang sama dengan enjin RPM tinggi, transmisi manual, serta casis yang dibina untuk pemandu sejati. Namun untuk pasaran Eropah, perjalanan ini hampir tamat.

Honda baru-baru ini memperkenalkan Civic Type R Ultimate Edition, iaitu sebuah model edisi terhad yang menandakan penghujung hayat Type R di Eropah. Ia bukan sekadar varian baru, sebaliknya sebuah perpisahan penuh emosi untuk memenuhi piawaian emisi Eropah yang semakin ketat.

Mulai 2026, standard Euro 6e-bis (Euro 6e Tambahan) akan berkuat kuasa. Peraturan baharu ini mengetatkan lagi had pelepasan nitrogen oksida (NOx), partikel (PN) dan keperluan ujian emisi dunia nyata (RDE).

Banyak model berprestasi tinggi sukar untuk menyesuaikan diri tanpa kos pembangunan tambahan yang sangat tinggi. Enjin K20C1 2.0L turbo pada FL5, walaupun legenda, tidak lagi praktikal untuk pasaran Eropah. Maka, jalan terbaik adalah menamatkan penjualan menjelang 2026.

Honda tidak membiarkan Type R pergi begitu sahaja. Ultimate Edition dihasilkan dalam jumlah terhad hanya 40 unit untuk seluruh Eropah. Setiap kereta disertakan dengan plaque bernombor khas, menjadikannya koleksi eksklusif bagi penggemar dan pengumpul.

Secara visual, Ultimate Edition tampil dalam Championship White, warna ikonik bagi setiap generasi Type R. Jalur merah pada bumbung dan bonet menambah identiti tersendiri, sementara badge “Ultimate Edition” jelas menandakan kedudukan istimewanya.

Masuk ke kabin, suasana semakin dramatik. Kusyen rekaan bucket seat Alcantara merah, karpet merah penuh, serta jahitan kontras memberikan nuansa klasik Type R. Di konsol tengah, plaque bernombor siri mengingatkan bahawa anda sedang memandu salah satu daripada hanya 40 unit di dunia.

Dari segi mekanikal, Ultimate Edition mengekalkan enjin 2.0L turbo K20C1 dengan 329 PS, dipadankan dengan transmisi manual 6-kelajuan dan LSD. Ia juga dilengkapi sistem suspensi adaptif, brek Brembo, serta aplikasi Honda LogR untuk merekod prestasi.

Dengan pengumuman ini, Eropah akan mengucapkan selamat tinggal kepada sebuah ikon. Honda Civic Type R Ultimate Edition bukan sekadar sebuah kereta, tetapi simbol penghujung era enjin petrol tulen untuk hot hatch paling digemari. Di Jepun, Amerika Syarikat, dan Asia, FL5 masih diteruskan, tetapi untuk Eropah, inilah noktah terakhir.

Bagi peminat, ini mungkin peluang terakhir untuk memiliki sebuah Civic Type R baharu. Dengan hanya 40 unit, nilainya pasti meningkat sebagai koleksi masa hadapan. Lebih daripada itu, Ultimate Edition akan dikenang sebagai lagenda terakhir sebelum dunia hot hatch memasuki fasa elektrifikasi.

Google ads
Back to top button