
SYARIKAT VAKUM INI MAHU BINA HYPERCAR TERPANTAS DI DUNIA, SASAR CATAT KELAJUAN 500 KM/J!
Pengeluar automotif China sejak beberapa tahun kebelakangan ini semakin berani mencabar jenama Barat dalam hal prestasi kelajuan.
Terbaru, muncul satu nama yang agak mengejutkan, syarikat perkakas rumah terkenal dengan produk pembersih vakum, Dreame Technology, kini berhasrat menghasilkan kereta terpantas dunia.
Dreame, yang digelar sebagai “Apple of China”, ditubuhkan pada 2017 dan setakat ini menawarkan barisan produk seperti pembersih vakum tanpa wayar, robotik, penapis udara, pengering rambut, mesin pemotong rumput robot dan pencuci kolam automatik.
Walaupun dikenali dalam sektor peralatan elektrik rumah, syarikat ini telah mengembangkan pengaruhnya ke Amerika Syarikat serta pasaran antarabangsa lain.

Dalam kenyataan rasmi di media sosial China, Dreame mengumumkan pembentukan bahagian automotifnya iaitu Dreame Auto dengan matlamat mencabar nama besar seperti Bugatti dan Koenigsegg.
Berbeza dengan Xiaomi atau Huawei yang memulakan langkah melalui kenderaan pintar harian, Dreame terus menyasarkan segmen hiper eksklusif.
Walaupun ia mungkin kedengaran terlalu berani, Dreame sebenarnya tidak bermula dari sifar. Dengan memanfaatkan ekosistem rantaian bekalan EV China yang matang, syarikat ini berpotensi bekerjasama dengan pembekal atau pengeluar automotif sedia ada.
Setakat ini, lebih 6,000 paten telah difailkan oleh Dreame, sebahagiannya berkait dengan teknologi automotif. Malah, unit automotif baharunya dilaporkan sudah menggaji sekitar 1,000 pekerja termasuk pakar dari industri automotif.
Menurut laporan media China, kereta elektrik hiper ini dijangka diperkenalkan seawal tahun 2027. Teaser rasmi memperlihatkan siluet ala Bugatti, namun belum dapat dipastikan sama ada reka bentuk itu mewakili model sebenar.
Untuk meletakkan sasaran Dreame dalam konteks, rekod kelajuan rasmi kenderaan produksi kini dipegang oleh SSC Tuatara dengan 474.8 km/j (295 mph) pada 2022.
Bugatti Chiron Super Sport 300+ pula pernah mencatat 490.48 km/j tetapi tidak diiktiraf kerana tidak diuji dua hala.
Pada Ogos 2025, rekod EV pula dipecahkan oleh BYD YangWang U9 Track Edition yang mencapai 472.41 km/j, mengatasi Rimac Nevera.
Saingan masa depan turut sudah menunggu. Koenigsegg, Hennessey dan Bugatti masing-masing sedang membangunkan projek baharu dengan matlamat menembusi sempadan 500 km/j.
Bagi Dreame, usaha ini dianggap sebagai langkah besar keluar dari zon selesa. Sama ada mereka benar-benar mampu menyaingi gergasi hiper kereta dunia masih menjadi tanda tanya, namun projek ini jelas menunjukkan keyakinan China dalam mengangkat jenama tempatan ke pentas global.
- BACA: XPENG LANCAR KEMASKINI GLOBAL OTA 5.8.0 – CIRI BAHARU ‘HUMAN-MACHINE CO-DRIVING’
- BACA: CHERY MALAYSIA SOKONG PEMULIHARAAN KURA-KURA TERANCAM
- BACA: GEELY GALAXY STARSHINE 6 PHEV RASMI DIDEDAHKAN – SEDAN MAMPU MILIK DENGAN JARAK ELEKTRIK SEHINGGA 100KM
- BACA: LEAPMOTOR MALAYSIA SERAH DUA UNIT LEAPMOTOR C10 KEPADA MOT

