
KENANGA RESEARCH YAKIN TIV 2023 KEKAL DENGAN REKOD SEMASA, SASAR 720,000 UNIT. TERIMA KASIH PERODUA AXIA
Jualan kenderaan pada tahun 2023 dijangka dapat dikekalkan pada paras rekod di negara ini. Menurut Kenanga Research, jualan itu akan dirangsang oleh beberapa pelancaran kenderaan baharu seperti Perodua Axia 2023.
Selain itu, jualan kenderaan akan disokong oleh pelancaran kenderaan elektrik bateri baharu yang akan menikmati pengecualian SST serta insentif kemudahan EV lain sehingga 2023 untuk CBU dan 2025 untuk CKD.
Dalam satu laporan, Kenanga Research berkata ia meningkatkan sasaran jumlah industri (TIV) 2023 sebanyak 4.3 peratus kepada 720,000 unit (sama dengan TIV pada 2022), lebih tinggi berbanding unjuran dinyatakan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dengan 650,000 unit.

Unit penyelidikan itu berkata ia percaya MAA lebih berhati-hati terhadap unjuran industri terutama bagi segmen kelas rendah. Ini berikutan kesan inflasi yang tinggi ke atas golongan berpendapatan rendah yang menyebabkan kos keperluan asas kian meningkat.
Kenanga Research menjelaskan sasaran TIV baharunya untuk 2023 adalah sejajar dengan prestasi jualan Perodua yang telah mencatat rekod jualan sebanyak 314,000 unit.
Kenanga Research juga menegaskan Axia baharu menerima lebih daripada 20,000 tempahan.
Axia baharu dijangka menyumbang 25 peratus daripada hasil jualan Perodua, melebihi 21 peratus yang dicatatkan pada 2022, sekali gus mengatasi Perodua Myvi sebagai kereta paling laris di Malaysia.
Pada 2022, Perodua mempunyai tunggakan sebanyak 220,000 unit yang perlu diselesaikan tahun ini. Namun hasil jualan Perodua dijangka meningkat lebih tinggi iaitu 11.3 peratus, didorong oleh pelancaran baharu (Axia 2023 dan dua lagi model facelift) selain permintaan berterusan untuk model sedia ada.
Pada masa yang sama, pembuat kereta lain turut optimis dengan pelancaran model baharu mereka.
Unit penyelidikan itu berkata ia menjangka keputusan suku keempat 2022 (4Q22) MBM Resources Bhd, yang akan dikeluarkan minggu depan, mencapai tahap keuntungan bersih antara RM70 juta dan RM80 juta.
Bagi UMW Holdings Bhd pula, unit penyelidikan itu menjangkakan keputusan 4Q22 yang akan dikeluarkan menjelang minggu terakhir Februari, mencapai keuntungan bersih antara RM140 juta dan RM150 juta, meningkat 50 peratus hingga 60 peratus.
“Pada pandangan kami, semua kenderaan baharu yang dilancarkan tahun ini akan berada pada harga lebih tinggi dan menghasilkan margin lebih baik untuk pemain automotif,” kata Kenanga Research. – The Star
- BACA: PROTON CATAT PERTUMBUHAN JUALAN 162% PADA JANUARI 2023. SAGA PALING LARIS
- BACA: MITSUBISHI MALAYSIA CATAT JUALAN 24,017 UNIT TAHUN 2022. XPANDER DAN TRITON TERUS POPULAR
- BACA: PERODUA SASAR JUALAN 314K DAN PRODUKSI 330K PADA TAHUN 2023
- BACA: DAIHATSU MALAYSIA CATAT JUALAN KUKUH, 1,190 UNIT GRAN MAX TERJUAL PADA 2022








