
ZEEKR 8X DILANCARKAN DI CHINA – SUV PHEV 1,381HP, JARAK GERAK SEHINGGA 1,416KM
Zeekr memperkenalkan Zeekr 8X sebagai SUV flagship berprestasi tinggi yang menggabungkan kuasa hibrid plug-in dengan teknologi pintar generasi baharu.
Model ini dibangunkan di atas platform SEA-S dan menggunakan sistem Super Electric Power (SEP), sekali gus meletakkannya sebagai pesaing dalam segmen SUV premium berprestasi tinggi.
Dari segi trenkuasa, Zeekr 8X ditawarkan dengan dua konfigurasi utama iaitu dwi-motor dan tiga motor.

Varian dwi-motor menghasilkan 660kW (885hp) serta 935Nm tork, membolehkan pecutan 0-100km/j dicapai dalam 3.7 saat dengan kelajuan maksimum 220km/j.
Varian tertinggi Zeekr 8X Flagship pula menggunakan konfigurasi tiga motor dengan output jauh lebih tinggi iaitu 1,030kW (1,381hp) dan 1,410Nm tork.
SUV ini memecut dari 0-100km/j dalam 2.96 saat, dengan kelajuan maksimum mencecah 230km/j. Kedua-dua varian digandingkan dengan enjin 2.0 liter turbo Super Hybrid Engine yang menghasilkan 205kW (275hp), bersama tangki bahan api 50 liter.

Sebagai PHEV, Zeekr 8X ditawarkan dengan dua pilihan bateri iaitu 55kWh dan 70kWh, kedua-duanya menyokong pengecasan pantas kadar 6C.
Menurut Zeekr, bateri boleh dicas dari 20 hingga 80 peratus dalam masa sekitar sembilan minit sahaja.
Dari segi jarak pemanduan elektrik sepenuhnya, varian dwi-motor dengan bateri 55kWh mampu mencapai sehingga 320km (CLTC), manakala bateri 70kWh meningkatkan jarak kepada 410km.

Varian tiga motor dengan bateri 70kWh pula menawarkan jarak EV sehingga 330km.
Dalam mod gabungan, varian dwi-motor mencatat jarak sehingga 1,416km (CLTC), sementara varian tiga motor menawarkan jarak keseluruhan sehingga 1,210km.
Dari segi dimensi, Zeekr 8X mempunyai jarak roda 3,069mm dan tinggi 1,780mm. Varian standard berukuran 5,100mm panjang dan 1,998mm lebar, manakala varian Flagship sedikit lebih besar dengan panjang 5,108mm dan lebar 2,026mm.
Bahagian kabin menampilkan pelbagai kelengkapan premium termasuk dua skrin Mini-LED 16-inci resolusi 3.5K di hadapan, paparan head-up AR bersaiz 44-inci serta skrin bumbung OLED 17-inci untuk penumpang belakang.

Turut tersedia peti sejuk terbina dalam, tirai privasi belakang berkuasa elektrik dan sistem audio Naim dengan 21 pembesar suara.
Varian Flagship menerima tambahan ciri seperti sistem Road Noise Cancellation (RNC), mod meredah air, fungsi parkir fleksibel, spoiler belakang aktif serta kemasan gentian karbon. Ia juga dibezakan melalui gril hadapan khusus, stereng lebih sporty serta balutan tempat duduk Alcantara dan kulit Nappa.
Zeekr 8X ditawarkan sebagai SUV lima tempat duduk secara standard, dengan pilihan enam tempat duduk susunan 2-2-2 bagi varian tertentu. Walau bagaimanapun, varian Flagship hanya tersedia dalam konfigurasi lima tempat duduk.

Di pasaran China, Zeekr 8X ditawarkan dengan harga seperti berikut:
- Zeekr 8X Max – RMB356,800 (sekitar RM206,900)
- Zeekr 8X Ultra – RMB376,800 (sekitar RM218,500)
- Zeekr 8X Ultra+ – RMB426,800 (sekitar RM247,500)
- Zeekr 8X Flagship – RMB500,800 (sekitar RM290,400)




