" "
Buletin

JUALAN TERUS MENJUNAM, HONDA BAKAL HENTIKAN PRODUKSI NSX DISEMBER 2022

Honda Motor Co. menyatakan ia bakal menamatkan produksi kereta sports mewah NSX pada Disember 2022. Langkah itu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha untuk menilai kembali produk kurang menguntungkan dan memberi fokus terhadap pembangunan kenderaan elektrik. 

Model NSX sekarang yang ditawarkan pada harga 24.2 juta yen (RM937,000) seunit dan dihasilkan di Amerika Syarikat itu telah ditambah baik menjadi sebuah jentera hibrid selepas model pertama direhatkan selama 10 tahun. 

Honda menjual 2,558 unit NSX di seluruh dunia. Jualannya merudum kepada 183 unit pada tahun 2020, berbanding 1,004 unit pada tahun 2017 dan 418 unit pada 2019. Pengeluar kenderaan itu dijangka melancarkan NSX edisi khas yang dihadkan kepada 350 unit sahaja, termasuk 30 unit untuk pasaran Jepun. 

Honda juga dilapor sedang menimbang untuk memperkenalkan sebuah kereta sports elektrik pada masa depan. 

Generasi pertama NSX dilancarkan pada tahun 1990. Produksinya ditamatkan pada 2005 selepas berjaya terjual 18,507 unit. 

Pendekatan tersebut diambil kerana Honda merancang untuk meningkatkan jumlah jualan EV serta sel bahan api di pasaran-pasaran utama seperti Jepun, Amerika Syarikat, Eropah dan China dengan sasaran 40 peratus pada 2030 dan 80 peratus menjelang tahun 2035. 

Selain NSX, model-model yang tidak menguntungkan seperti Odyssey, sedan Legend dan kereta sel bahan api dan PHEV Clarity bakal dihentikan produksinya mulai tahun ini. – Kyodo News  

Google ads
Back to top button