Buletin

KEDAH METERAI PERJANJIAN DENGAN ECK GROUP, LAPANGAN TERBANG ANTARABANGSA KULIM SIAP TAHUN 2026

Pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) dijangka siap sepenuhnya pada 2026, sekali gus bakal menjadi pemangkin dalam mengubah landskap ekonomi di negeri Kedah.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, fasa pertama projek pembinaan lapangan terbang itu akan dimulakan dalam tempoh terdekat dan menelan belanja RM6 bilion termasuk kos pengambilan tanah.

Beberapa projek lain akan turut menyusul termasuk pembinaan Lebuh Raya Koridor Utara (NCH) melibatkan laluan antara Bandar Baharu ke Sungai Petani dan akses baharu Lebuh Raya Utara-Selatan di Tikam Batu.

Kerja-kerja menaik taraf laluan keluar masuk ke Sungai Petani juga akan dilaksanakan. Selain terdapat cadangan penjajaran baharu kereta api dari Tasik Gelugor, Pulau Pinang melalui Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) dan Sungai Petani, Kedah.

Perkara itu diumumkan menerusi satu kenyataan media selepas kerajaan negeri Kedah memeterai perjanjian usahasama dengan Kumpulan ECK di Wisma Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) pada Isnin. Menerusi perjanjian berkenaan, sebuah syarikat tujuan khas (SPV) akan ditubuhkan bagi bertindak sebagai pemilik serta pemaju projek KXP.

ECK akan memiliki 80 peratus ekuiti SPV, manakala bakinya dipegang oleh anak syarikat PKNK, KXP AirportCity Holdings sdn. Bhd.  

KXP dilihat bakal memegang peranan utama dalam beberapa cabang industri penerbangan serantau termasuk hab industri halal dan e-dagang bagi rantau Asia Tenggara dalam tempoh lima tahun akan datang. 

Sanusi yang juga Pengerusi KXP AirportCity Holdings Sdn. Bhd turut menjelaskan, lapangan terbang itu akan menjadi hab penerbangan haji serta umrah khususnya bagi penduduk di negeri yang berada di utara Semenanjung Malaysia.

Justeru, kerajaan negeri optimis dari sudut ekonomi, KXP mampu menjana kepada peningkatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri Jelapang Padi itu yang diunjurkan 7.5 peratus setahun berbanding 4.5 peratus ketika ini.

Sumbangan KXP kepada Pendapatan Kasar Negara (GNI) pula dijangka mampu mencecah RM1.186 blion pada 2026 selain dijangka menyediakan antara 15,000 hingga 18,000 peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan. – Astro Awani 

Google ads
Back to top button