
KENAPA MINYAK PELINCIR BERTUKAR JADI HITAM???
Sebagai salah satu elemen penting untuk melincirkan bahagian enjin dan mengelakkan kepanasan berlebihan, minyak enjin merupakan faktor yang tidak boleh dipandang ringan. Oleh kerana fungsinya begitu penting, ia memainkan peranan besar untuk memastikan enjin beroperasi dengan lancar.
Jika anda pernah menukar sendiri minyak enjin, anda mungkin perasan bahawa minyak biasanya berwarna emas atau kuning cerah ketika dimasukkan ke dalam enjin, tetapi berubah menjadi coklat gelap atau hitam legam apabila ia dikeluarkan dari oil sump sewaktu servis dibuat.
Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada perubahan warna minyak dari warna kuning cerah menjadi hitam, antaranya ialah kitaran haba. Minyak enjin boleh mencapai suhu lebih 105 darjah Celcius semasa pemanduan biasa dan akan menyejuk apabila kenderaan diparkir.
Perubahan suhu secara semula jadi (panas-sejuk-panas) akan menyebabkan beberapa bahan tambahan (aditif) dalam campuran minyak menjadi gelap. Selain itu, oksidasi minyak enjin, iaitu interaksi antara oksigen dan molekul minyak, turut mempengaruhi warna minyak enjin dan boleh bertambah teruk akibat suhu tinggi.
Apabila molekul oksigen bercampur dengan minyak pelincir, elemen dalam minyak pelincir akan terurai, membuang ikatan elektron, dan menyebabkan warna minyak menjadi lebih gelap dari masa ke masa.
Tambahan pula, bahan tambahan dalam minyak enjin direka untuk membantu membersihkan enjin daripada partikel logam, jelaga, dan deposit karbon akan memerangkap semua kotoran tadi da berubah menjadi gelap.

Minyak baru biasanya berwarna kuning jernih, tetapi setelah digunakan dalam enjin dan bergerak ke seluruh sistem enjin, sisa yang ditangkap oleh bahan tambahan akan menyebabkan warnanya menjadi lebih gelap. Proses yang digunakan pada minyak terpakai biasanya akan menyingkirkan bahan tambahan ini dan mengembalikan warna asalnya.
Terdapat salah tanggapan umum bahawa warna minyak enjin sahaja boleh menentukan sama ada ia perlu ditukar atau tidak. Minyak yang menjadi lebih gelap sejurus selepas ditukar mungkin hanya menunjukkan bahawa ia telah menangkap kotoran dan menjalankan fungsinya dengan baik.
Oleh itu, jadual penyelenggaraan mengikut kenderaan ditetapkan untuk membantu pemilik mengenal pasti bila masanya sesuai untuk menukar minyak lama kepada yang baru. Walaubagaimanapun, terdapat beberapa tanda membimbangkan yang boleh memberi isyarat bahawa sudah tiba masa untuk membawa kenderaan ke bengkel.
Salah satu aspek yang boleh diperhatikan ialah kelikatan (viscosity) minyak pelinci yang merujuk kepada ketebalan minyak. Sebagai pengguna bijak, anda mesti menggunakan kelikatan yang tepat untuk enjin anda.
Minyak dengan kelikatan lebih tinggi daripada yang disyorkan tidak akan mengalir dengan cepat atau cekap seperti yang sepatutnya. Jika anda perasan minyak yang telah menjadi gelap dan lebih pekat daripada biasa, ia mungkin menandakan campuran minyak itu terlalu tercemar dan memerlukan penukaran segera.
Satu lagi simptom membimbangkan ialah jika minyak kelihatan coklat dan berbuih. Ini boleh menandakan bahawa cairan penyejuk (coolant) telah masuk ke bahagian enjin yang tidak sepatutnya, menyebabkan ia bercampur dengan minyak. Coolant ini akan mengurangkan keberkesanan minyak dalam melincirkan enjin, menjadikan situasi ini kritikal untuk geseran enjin.
Enjin petrol dan diesel mempunyai beberapa perbezaan, termasuk cara pembakaran dijana, contohnya pembakaran pencucuhan percikan (spark ignition) berbanding pencucuhan mampatan (compression ignition).
Walaupun enjin diesel mempunyai beberapa kelebihan, bahan bakarnya membakar lebih kotor berbanding petrol disebabkan kandungan sulfur dan karbon yang lebih tinggi, serta lebih banyak jelaga dihasilkan akibat mampatan yang lebih tinggi dalam silinder.
Untuk mengatasinya, enjin diesel moden dilengkapi dengan komponen ekzos seperti penapis partikulat diesel (diesel particulate filter) yang berfungsi membakar zarah jelaga tambahan sebelum ia dilepaskan ke udara luar. Tetapi, kerana jumlah jelaga yang dihasilkan semasa operasi, minyak baru boleh menjadi gelap dengan cepat, malah dalam masa sehari sahaja selepas ditukar.
Jelaga ini juga boleh masuk ke kawasan cincin piston, yang menyebabkan ia bersentuhan dengan minyak enjin. Minyak akan menyerap jelaga tersebut dan berubah menjadi lebih gelap. Ini sekali lagi menunjukkan bahawa warna minyak bukanlah penanda utama untuk menentukan penukaran minyak.



